Beberapa kisah lagi dapat dirakamkan berkenaan dengan kisah orang- orang
daripada negeri-negeri atau tempat-tempat lain daripada pihak lelaki yang
berpindah serta langsung beranak cucu dan tinggal jadi anak Kampung Lambor Kiri
hingga masa ini. Satu keluarga telah
mengahwinkan dua anak perempuannya adik-beradik satu daripadanya dengan seorang
pemuda daripada Kampar Sumatra dan yang seorang lagi dengan seorang bangsa
Tionghua yang telah memeluk ugama Islam serta meninggalkan anak cucunya di
sini. Saya suka pula menyambung lagi
sedikit daripada pihak kaum perempuan pula diantaranya ialah:-
(6). Seorang
perempuan namanya atau dipanggil orang namanya Cina. Pada mulanya tidaklah
diketahui daripada negeri mana ianya berasal.
Di masa mudanya jelita orangnya dan harus dengan sebab itu dipanggil si
Cina. Difahamkan asalnya ia adalah
seorang penari ronggeng, manora, makyong dan lain-lain datang bermain di kampong
ini. Pada masa muda ia berkahwin dengan
pemuda-pemuda kampung lepas seorang bercerai dan berkahwin pula dengan seorang
pemuda yang lain, lepas seorang ke seorang.
Apabila ia telah berumur tua maka ia
telah berkahwin dengan seorang namanya Madat bin Uda Batak (selepas mereka
kedua Madat dan bapanya menunaikan fardhu haji di tanah suci Makah
Al-musarrafah mereka diubah nama Haji Abdullah bin Haji Muhammad) selepas ia
berkahwin yang akhir ini barulah dibawanya suaminya ke negeri tempat tumpah
darahnya Sumatera dan diketahui yang ia adalah ibu saudara kepada Duli Yang
Maha Mulia Sultan Deli Sumatera. Semasa
ia di sana ia dibenarkan oleh anak saudaranya Sultan Deli hasil negeri untuk
saraannya. Begitupun, ia tidak suka
tinggal di sana lama kerana di masa itu negeri itu adalah di bawah pemerintahan
kerajaan Belanda. Rupanya ia telah lari
daripada pemerintahan Belanda tempoh hari.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment