Di masa kami pergi itu jalan ke Taiping masih di dalam pembinaan oleh kuli-kuli India. Ada yang baru siap tetapi di setengah-setengah tempat baru diatur batu-batu besar. Kuli-kuli India dimasa yang bekerja membuat jalan raya itu bukanlah sebagaimana sekarang ini. Mereka tidak pakai kain tetapi bercawat. Badan mereka lebih hitam daripada arang-batu tetapi mereka cukup jaga gigi mereka. Oleh itu, gigi mereka saja yang putih. Jika ditakdirkan saya berjumpa mereka satu sama seorang harus saya cabut lari kerana takut. Sekarang ini kulit orang-orang India sudah banyak cerah di antara mereka didapati sekarang yang putih atau kirau – ini boleh jadi sebab sudah lama mereka meninggalkan negeri mereka yang lebih panas atau oleh sebab sudah lama mereka dan anak-cucu mereka sudah tinggal di negeri ini.
Didalam perjalanan hari yang keempat itu saya selalulah merungut dan meminta supaya naik keretapi yang berjalan di bawah tanah tetapi Cikgu kami janjikan kita naik keretapi daripada stesyen keretapi yang di hadapan hingga sampailah jua kami ke Taiping pada petang itu terus-menerus dengan jalan kaki.
Pada pagi esoknya, hari kelima kami dibawa melawat bandar Taiping termasuk melawat Ibu Pejabat Pelajaran pada masa itu di bandar itu. Saya di masa itu tidaklah tahu sudahkah ada “Lake Garden” atau Perak Museum kerana saya tidak ingat pergi ke situ melihat kedua tempat itu. Pada malam hari kami menumpang tidur di atas loteng kedai nasi orang India. Saya tidaklah jua tahu sudah adakah rumah tumpangan “Lodging” atau hotel di masa itu dan jika ada sekalipun, kami tentulah tidak upaya menyewanya.
Selepas dua malam kami di Taiping, di pagi hari yang ketujuh dalam pengembaraan kami, maka kamipun baliklah ke Kuala Kangsar dengan menaiki keretapi. Itupun Cikgu kami pada mulanya ajak kami berjalan kaki ke Bukit Gantang atau saya pergi dengan seorang dengan keretapi dan nanti ketibaan mereka di stesyen keretapi Kuala Kangsar. Saya minta jua bersama balik dengan keretapi daripada Taiping dan mahu tak mahupun Cikgu kami bersetuju.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment