Oleh keadaan kami tidak berjumpa dengan seseorangpun yang hendak ke hilir dengan sampan daripada Kuala Kangsar maka bermuafakatlah diantara kami bagaimana hendak balik mencari ikhtiar dan cara yang elok hendak balik ke hilir. Cikgu kami kata cara yang senang dan tidak memakai belanja ialah hilir dengan rakit. Oleh itu daripada pagi hari lagi kami pun hebohlah menghimpun batang pinang yang ada banyak di tepi sungai di situ. Untuk mengapit batang pinang itu membuat sebuah rakit yang boleh memuatkan empat orang di atasnya. Pada waktu tengah hari maka rakit itupuan siaplah dengan beratapkan daun pinang untuk berteduh daripada panas. Pada jam pukul dua waktu zohor kamipun bertolaklah daripada Kota Lama Kiri dengan rakit itu dengan tidak memikirkan di mana hendak bermalam pada malam itu.
Rakit kami hanyut hilir mengikut arus dan pada waktu hampir senja hendak malam rakit kami melalui tepi tebing sungai berdekatan dengan Sekolah Melayu Kuala Kenas. Di masa itu banyak orang turun ke sungai mengambil air sembahyang. Mereka itu tercenggang saja melihat rakit kami masih hilir di waktu sudah hendak malam. Kami tidak berkata apa-apa. Di antara orang-orang yang ramai itu ada seorang bertanya kami hendak hilir ke Lambor Kiri. Rupanya yang bertanya itu ialah Cikgu Megat Bajid, guru sekolah di situ. Katanya lagi “ini nampaknya Cikgu Kechil, bukan? Kenapa gila semacam ini. Nak tumporkah dimain batu sawar di hilir itu sekarang di malam buta ini. Singgahlah! Berhenti!” Di situlah baru berjumpa buku dengan ruas. Kami pun tidak berkata apa-apa lalu singgah serta bermalam di sekolah itu. Pada malamnya kami dijamu oleh Cikgu Megat Bajid dan diberikan kami tikar-bantal untuk bermalam.
Pada pagi esoknya, kamipun bertolak hilir selepas bersalaman dan mengucapkan setinggi terima kasih kepada Cikgu Megar Bajid. Kami dapati sebenarnya sangat seperti katanya pada malam tadi kerana di sebelah hilir tempat itu kami menempuh batu sawar yang merentang Sungai Perak di sana-sini. Yang rakit kami pun hampir tersepak kepada batu yang besar di tengah-tengah sungai itu dengan dibawa arus yang deras dan pada masa hari siang pun apatah lagi jika di waktu malam. Pada petang hari itu, kamipun sampai ke Pekan Parit. Cikgu kami suka juga lagi meneruskan perjalanannya ke hilir dengan rakitnya tetapi oleh kerana kami telah dapat banyak sampan yang hendak ke hilir yang dapat kami tumpang maka kamipun menumpanglah hilir dengan selamatnya selepas mengembara lebih kurang dua minggu. Sehingga ini saya terkenanglah jika kami tahu terlebih dahulu tentulah kami tidak sanggup menggembara secara itu dan sekarangpun tidak terlintas di hati saya yang saya boleh lakukan sekali lagi dengan begitu cara. Sekarang ini keadaan telah sudah amat berubah dan cara kenderaan bermotokar dan lain yang lebih mudah.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment