Total Pageviews

Monday, 31 October 2011

SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI

Saya telah mula bersekolah di Sekolah Melayu Lambor Kiri pada awal tahun 1906.  Sekolah ini telah mula dibina pada awal tahun 1904 dalam satu rumah bangsal di hadapan rumah Tok Penghulu mukim itu pada mulanya dengan seorang guru iaitu Cikgu Alang Maarof daripada Lubok Merbau, Kuala Kangsar.  Selepas saya masuk belajar di sekolah itu pada tahun 1906, seorang guru penolong bernama Cikgu Maarof bin Uda Longgok anak kampong Teluk Bakong, Lambor Kanan telah mula ditambah oleh kerana bertambahnya murid dan darjah.  Cikgu Maarof bin Uda Longgok ialah seorang murid tua Sekolah Melayu Lambor Kanan yang telah dibuka beberapa tahun terlebih dahulu daripada Sekolah Melayu Lambor Kiri.  Di masa itu jadilah dua orang guru senama, Cikgu Maarof mengajar di Sekolah Melayu Lambor Kiri bezanya ialah seorang Alang Maarof dan yang lain Maarof bin Uda Longgok.

Pada masa Sekolah Melayu di Lambor Kiri maka kanak-kanak dan orang-orang muda yang hampir berumur dua-puluh tahun (ada sedikit yang telah lebih umur itu) pun diterima masuk belajar kerana terdahulu daripada itu tidak ada sekolah yang lain di Mukim Lambor Kiri.  Saya sudah berumur lapan tahun dan budak yang kecil sekali di sekolah itu di masa itu.  Inipun ibu saya tidak mahu melepaskan saya masuk belajar di sekolah itu sehingga dua bapa saudara saya iaitu Alang Wazid (Haji Esa) dan Uda Bulon menjamin kepadanya untuk menjaga keselamatan saya daripada diusik oleh budak-budak lain.  Saya ingat di hari yang saya mula-mula masuk belajar di sekolah yang saya terjatuh daripada bangku sebab mengantuk dan jua oleh sebab saya kecil.

Pada masa itu budak-budak yang baharu masuk belajar tidak terus masuk belajar di dalam darjah satu sebagaimana sekarang, tetapi menempuh pula satu darjah persediaan di dalam tahun yang pertama yang dipanggil “standard out” di setengah-setengah Sekolah Melayu di pekan-pekan.  Begitupun, ada juga yang tidak lulus sehingga tiga atau emapat tahun baharu dimasukkan ke darjah satu.  Beberapa sebab di antaranya ialah:-

1.      Di sebuah mukim ini, iaitu saja baharu ada sebuah sekolah.  Oleh itu budak-budak kecil atau besar yang datang daripada tempat yang jauh iaitu daripada kampung-kampung di sempadan mukim di sebelah hulu dan di sebelah hilir datang ke sekolah bukan kerana hendak belajar mencari pengetahuan, tetapi ialah untuk mengelakkan daripada kena saman terkena membayar denda.

2.      Oleh kerana berjauhan itu, mereka malas datang dan letih serta malas belajar, sehari mereka datang ke sekolah dan dua hari pula tidak datang dan begitulah seterusnya.  Faedah dan tujuan belajar untuk tahu tulis-menulis dan membaca belum amat difaham pada umumnya di kampong.  Misalnya, seorang ibu datang menemui Gurubesar pada waktu sekolah dibuka pada pagi hari. Tanyanya:
“Cikgu saya nak bawa anak saya ke bendang menolong saya menajak bendang – ini saya bawa adiknya si Alang (yang masih kecil dan belum boleh bersekolah) untuk gantinya di sekolah.  Anaknya si Ngah belum cukup besar lagi boleh menajak dan ia tidak minta membawanya ke ladang.”

Jika Cikgu itu kata tidak payah diganti, ibu itu menjawab esok Cikgu saman pula bapa budak ini.  Begitulah seterusnya seolah-olah mengaji itu macam kerja buruh, bukan kerana hendak belajar untuk pandai tulis-menulis.

3.      Kurang kerjasama daripada pihak ibu-bapa terkadang menentang pula di zaman itu sebab tidak nampak faedahnya.

4.      Kebanyakkan pula lari sekolah (truant) kerana malas belajar dan nakal serta ada pula tersekat di jalan oleh budak-budak nakal yang lain.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 24 October 2011

KASIH SAUDARA SAMA ADA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


KASIH SAUDARA SAMA ADA

            Perpatah orang-orang tua kasih saudara sama ada.  Kasih ibu sepanjang rantau.  Saya riwayatkan contoh kasih ibu – berkenaan dengan pepatah “kasih saudara sama ada” saya dapati banyak orang terkeliru pada maksudnya iaitu dengan mengatakan kasih saudara sama saudara iaitu adik-beradik adalah bergantung kepada wang-ringgit dengan nama “berada” iaitu kasih saudara sama saudara yang sama berada.  Pendeknya kata, “kaya sama-sama kaya” ini bermakna tidak ada kasih mesra di anatara saudara yang kaya dengan saudara yang miskin.  Saya tidak menafikan perkara semacam itu tidak berlaku tetapi pada pendapat saya di antara saudara adik-beradik tidak ada timbul soal miskin kaya.  Saudara itu saudara juga, tidak ada batasan sebagaimana kehendak ugama kita yang maha suci.

            Pada pendapat saya juga adalah yang dikehendaki dengan pepatah atau telabai itu ialah “kasih saudara sama saudara biarlah sama-sama berada” yang bermaksud saudara yang berada itu berkehendakkan saudaranya pun berada juga orangnya, dan dia tidak senang (bukan benci) melihat saudaranya itu tidak berada sekurang-kurangnya sebagaimana ianya dan ia terus membantu saudaranya itu sedaya upaya dengan ikhtiar, tenaga wang ringgit atau sekurang-kurangnya dengan nasihat yang berguna atau yang membina untuk menolong saudaranya yang kurang berada itu supaya saudaranya itupun jadi berada (kaya) dengan cara tolong-menolong sebagaimana yang telah disebutkan dan dengan cara itulah jadi maju.

            Pada mulanya tadi saya telah sebutkan “ikhtiar” dan ikhtiar yang baik ialah memberi petolongan kepada saudara kita itu supaya ia dapat menuntut ilmu yang tinggi kerana dengan ilmu itulah menjadikan manusia itu berakal serta menambahi kepandaian dan ilmunya yang ada dan boleh menjalankan pekerjaan yang boleh membaiki dirinya sendiri serta pula boleh mengajar orang-orang lain.  Maka dengan itulah saja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang-barang satu rahsia yang di dalam hati manusia untuk membela dirinya dan orang lain.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 17 October 2011

KASIH IBU (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Ibu kami telah meninggal dunia semasa ia masih muda dan semasa kami anak-anaknya lagi budak-budak belum seorangpun yang telah bekerja dan dengan demikian tidaklah ia pernah merasa nikmat hidup yang sedikit mewah di dunia ini.  Di masa ia kecil tidak beribu dan seolah-olah tidak berbapa.  Ilmu pengetahuan semada ilmu dunia atau akhirat tidak diajar, amal ibadat pula kurang dan harus tidak ada.  Oleh itu, dunianya terlepas dan akhiratnya tuhan sahaja yang mengetahui.  Saya tidak terbalas di atas kasih-sayangnya kepada saya yang berlebih sebagaimana yang saya telah sebutkan dahulu dan untuk membalas jasanya ke atas saya khasnya saya berdoa setiap-tiap masa kepada Allah subha-nahu-wata'alla mencucurkan rahmatnya ke atas roh ibu saya itu dan dihimpunkan ia ke dalam golongan orang mati syahid.  Di waktu malam yang sunyi sebelum tidur dan di masjid sebelum sembahyang Jumaat saya bertahlil seorang diri atau baca ayat atau surah yang panjang yang saya hafal dan saya sedekahkan pahalanya kepada roh ibu saya dan inipun di masa radio dan T.V. ini sekarang sudah cuai disebabkan berjaga jauh larut malam untuk melihat TV.  Oleh itu, berasa mengantuk sangat di masa hendak tidur dan tidak sempat berbuat demikian.  Selama saya hidup saya harap saya tidak boleh lupakan kasih-sayangnya dan keluarga saya telah perolehi ialah dengan berkat doa ibu saya semasa ia masih hidup lagi di dunia ini.

Saya juga percaya iaitu ibu-bapa yang lain pun begitulah jua keadaannya terhadap anak-cucu mereka.  Bagaimanapun saya tidak boleh lupakan satu peristiwa yang ngeri yang terjadi masa saya kecil lagi iaitu riwayat seorang yang bongkok dan derhaka kepada ibunya sehingga ibunya tergamak mengutuk dan menyumpah anaknya itu dengan ia tidak menghalalkan susunya yang dikurniakan oleh tuhan yang telah diminum atau dimakan oleh anaknya itu semasa kecil.  Kesudahannya anaknya itu terpecat daripada kerja dan diakhirnya ia meninggal dunia ini di kaki-lima.  Sebelum ia menghembuskan nyawanya yang akhir ia muntahkan susu seolah-olah susu yang telah diharamkan oleh ibunya kepadanya.

Saya suka pula meriwayatkan sedikit untuk mengingatkan bagaimana kesukaran yang dialami oleh isteri saya allahyarhamah Hamsiah binti Haji Muhammad Jabar untuk membuktikan bagaimana kasih sayangnya kepada anaknya terutama yang masih kecil di masa itu iaitu di masa yang dikatakan pemerintahan bersama “Co-prosperity Sphere” oleh tentera Jepun (Dai-Nippon) 1941-1945.

Saya rasa kebanyakkan kita yang berada di masa itu iaitu di masa sebelum peperangan dunia yang kedua sampai ke negeri ini didalam bulan Disember 1941 mesti ingat iaitu sungguhpun kami orang-orang dan kakitangan kerajaan di masa itu (ed: gaji) kecil atau rendah dan tidak tinggi semacam sekarang tetapi harga barang-barang keperluan di masa itu adalah amat murah jika dibandingkan dengan harga sekarang.  Di masa itu harga seguni beras Kedah atau beras Kuala Kurau yang kami biasa makan tidak lebih daripada $10.00.  Harga gula putih tujuh sen sekati.  Minyak gas tidak sampai seringgit satu tin termasuk tinnya yang pula boleh dijual 10sen satu.  Oleh itu, biasanya sentiasa ada di rumah seguni beras pada tiap-tiap masa dan belum habis isi seguni itu, sudah dihantar oleh orang kedai ke rumah seguni lagi.  Kami tidak payah ambil barang-barang berhutang bagi barang-barang dapur.  Oleh itu, kami boleh beli apa-apa suka dengan duit di tangan.  Barang elok dan bersetuju harganya selepas tawar-menawar, kami beli.

Apabila tiba peperangan dan askar Jepun masuk mengejut dan memerintah negeri ini, maka orang-orang dan kakitangan kerajaan yang diambil balik bekerja mereka dibayar gaji 40%, 60%, 80% tetapi malangnya diri saya sendiri tidak sampai 20%, 40%, 60% pun pada mulanya.  Sudah itu, jika ada duitnya sekalipun barang-barang pula tidak ada boleh didapati, beras gula, tepung dan garam dicatu pula.  Dengan keadaan yang demikian, jika dapat beras catuan sekalipun, tidak berapa sangat didapati dan sebelum tiba giliran catuan beras dan gula yang ke hadapan tidak ada apa lagi tinggal di rumah saya, terpaksa pergi goring dapat pendahuluan (advance) sebanyak dua cupak beras untuk dibuat kanji.  Dengan keadaan yang demikian, telah terlintas mulanya pada fikiran isteri saya itu iaitu jika demikian keadaannya biarlah ia mati supaya anak-anaknya sesuap pagi dan sesuap petang.  Mulanya, dikurangkan makannya beransur-ansur sehingga pada masa yang akhir selama 32 hari ia tidak mahu makan sebelum menghembuskan nyawanya yang akhir kembali ke rahmatullah.  Beberapa juga kami ikhtiarkan supaya ia makan bersama kami tetapi ia terus juga keazamannya sehingga ia jadi kurus kering sebagaimana kata orang-orang tua “Jika tidak sebab kulit bercerailah tulang,” sebelum ia meninggal yang fana ini.

Saya teringat peristiwa dan kesengsaraan yang dialami di masa itu iaitu di masa yang amat genting itu adik saya yang perempuan bawa beras seguni tepung gandum daripada kampong kami Lambor Kiri.  Maka terkenalah ia menyewa sebuag kereta lanca untuk membawanya daripada Jeti Pasir Berdamar ke rumah kami di Teluk Anson (Jeti Batak Rabit).  Maka wang sewa kereta itupun saya tidak upaya bayar usahkan membayar harga beras itu dan bagaimana ia membayarnya tidaklah saya tahu.

Saya mengulangi peristiwa ini moga kita insaf kepada orang-orang tua terutama kepada ibu-bapa khasnya ibu – telah nampak dengan jelas kepada saya iaitu jika kita berjasa kepada mereka itu, maka Allah subha nahu wata’alla yang Maha Kuasa dan Maha Adil tidak akan mensesiakan jasa itu.  Anak cucu kita akan berjasa pula kepada kita pada masa kita telah lemah, dan keadaan masing-masing akan jadi aman makmur serta murah rezeki.

Saya tidaklah lupa mendoakan setiap-tiap masa kepada Allah subhanahu-wata’ala mencucurkan rahmatnya keatas roh isteri saya itu dan dihimpunkan ke dalam syurga di dalam golongan orang yang mati syahid.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 10 October 2011

KASIH IBU: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

KASIH IBU

Sebagaimana yang saya telah sebutkan pada awal riwayat ini ibu saya tidaklah pernah merasa atau mendapat nikmat kasih sayang seorang ibu kepada anaknya kerana ibunya telah meninggal dunia di masa melahirkannya.  Tatkala ia pula telah melahirkan anak maka ia telah menumpahkan kasih-sayangnya kepada anak-anaknya.  Tetapi yang berlebih sangat ialah kepada saya sendiri.  Boleh jadi oleh sebab saya ialah anaknya yang tua sekali dan dan telah merasai amat susah payah baharu melihatkan saya sebagaimana yang saya telah sebutkan sehingga terpaksa membayar nazar ke Keramat Toh Temong, Hulu Perak.  Saya suka meriwayatkan satu atau dua perkara atau kejadian yang menunjukkan bagaimana kasih-sayangnya ibu saya kepada diri saya.

Sebagaimana yang saya telah (ed:akan) terangkan di tempat yang lain iaitu di dalam cuti persekolah dalam bulan puasa 1901, saya telah dibawa oleh Guru Besar saya Cik Gu Kechik suami isteri ke Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan berdiam di sana selama sebulan puasa dan masa cuti Hari Raya.

Kami balik daripada sana selepas cuti raya pada 5 Syawal.  Bila saya sampai ke rumah kami di Lambor Kiri, saya dapati ibu saya masih simpankan bagi saya kuih-muih dan makanan cara kampong yang diperbuat semasa berhari-raya lima hari yang sudah lepas di antaranya ialah sepeha ayam, rendang pedas cara lama.  Saya tanya ibu saya bila masanya potong ayam itu, katanya ialah semasa kenduri hendak memegang puasa pada 30 Sya’aban.  Ia hangatkan rendang ayam yang itu tiap-tiap petang dan disimpan didalam satu tabak sehingga saya balik.  Ini bermakna sudah 35 hari dan bulannya masuk tiga bulan iaitu 30 Sya’aban, sebulan Ramadhan (puasa) dan lima hari dalam bulan Syawal.

Ia garingkan rendang yang sepeha ayam itu selama itu dan ia tiada lalu memakannya sebab saya seorang anaknya tiada di rumah selama itu.  Sehingga masa ini, saya tidak pernah merasa rendang pedas sebegitu sedapnya sebagaimana yang dimasak oleh ibu saya itu.

Apabila saya dihantar ke Kuala Kangsar untuk mengaji di sekolah Inggeris di sana (iaitu kali yang kedua saya bercerai dengannya) saya telah tidak balik ke kampong lebih dari enam bulan.  Saya balik daripada Kuala Kangsar melalui Pekan Parit, daripada Pekan Parit saya berjalan kaki ke hilir kerana tidak berjumpa siapa-siapapun hendak ke hilir dengan sampan yang boleh saya tumpang.  Dimasa itu belum ada lagi jalan raya sebagaimana sekarang dan motorboat jauh sekali tidak orang tahu.

Saya sampai melalui Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan pada petang hari.  Daripada jauh saya nampak banyak orang-orang perempuan tua-muda keluar daripada rumah Opah Saijah berjalan hendak ke hilir.  Rupanya pada hari itu Opah Saijah yang dahulunya duduk di Lambor Kiri dekat rumah kami telah membuat kenduri besar di situ pada hari itu.  Saya tidak bertanya apa sebabnya dan di antara yang dipanggilnya ialah kaum-kerabatnya daripada Lambor Kiri termasuklah ibu saya, di masa itu hendak balik menyeberang ke Lambor Kiri.

Saya ikutlah di belakang mereka yang ramai itu.  Di antara yang ramai itu ada pula seorang yang menyuarakan, “Long! Long! di belakang itu anak kamu si Akob!”

Ibu saya terperanjat kerana tidak disangka-sangka dan ia peluk cium saya di hadapan orang yang begitu ramai yang kami kedua tidak tertahan lagi keluar air mata.

Semasa saya bersekolah Inggeris di Kuala Kangsar apabila cuti sekolah maka terus saya balik ke kampong dan di akhir cuti baharu saya balik ke sekolah.  Di dalam masa cuti persekolah di akhir tahun 1914, saya balik ke kampong dan bila sekolah dibuka awal 1915 saya balik ke sekolah dan itulah masanya yang akhir saya berjumpa ibu saya yang telah meninggal dunia, kembali ke rahmatullah semasa ia masih muda berumur tidak lebih daripada 35 tahun.

Opah kami Teh Rela memberi saya tahu ibu saya telah terkena sakit muntah ceret selepas makan jeruk-pekasam buah kacang sejambak sebelanga.  Riwayat kacang itu ialah kacang hutan yang banyak buahnya serumpun dan kami sendiri beri nama kacang itu sejambak sebelanga kerana sejambak buahnya cukup dimasak sebelanga.  Pokoknya besar menjalar ke atas pokok-pokok sehingga pokok itu habis dibalut oleh sepokok saja.  Buahnya di masa muda boleh dan sedap dibuat ulam sambal tetapi apabila sudah tua hendak masak boleh dikeluarkan bijinya atau buahnya daripada kulitnya direbus beberapa lama supaya jangan jadi mabuk memakannya dan buah yang sudah cukup direbus itu sedap dibuatkan jeruk atau dimakan lagi untuk buat pengat.  Bertahun-tahun lama nya perkara itu sudah berjalan tetapi barangkali pada kali yang akhir ini harus jadi buah-buah kacang itu tidak cukup direbus.  Oleh itu sudah jadi mabuk.  Kami tanam pokok kacang itu di sebelah rumah kami.

Oleh yang demikian, ibu kami telah kembali ke rahmatullah dengan cara mengejut.  Saya diberi tahu selepas ia meninggal dunia dan selepas telah dikebumikan oleh tidaklah dapat saya menemuinya lagi bagi kali yang akhir.  Itulah saya tidak diberi tahu semasa bertolak dan di masa dalam perjalanan balik dan saya dapat tahu apabila saya sampai ke rumah saya dan adik saya yang kecil sekali memberitahu saya.

Ibu kami telah meninggal kami lima beradik iaitu:-

1.      Mohd Yaakob sekarang Haji dilahirkan 25.10.1897
2.      Ngah Mohd Tawi dilahir pada 1900
3.      Uda Zainal Abidin sekarang Datuk Haji Zainal Abidin dilahir pada 1907
4.      Teh Saedah sekarang Hajjah Teh Saedah dilahirkan pada tahun 1910
5.      Anjang Saith sekarang Datuk Haji Anjang Saith dilahirkan pada 1913

Adik kami Alang Sharifah dilahir pada tahun 1903 mati kecil terkejut kerana ayam disambar helang di hadapan rumah.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Thursday, 6 October 2011

MELAWAT PEKAN TELUK ANSON KALI PERTAMA :Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


MELAWAT PEKAN TELUK ANSON
KALI PERTAMA

Saya masih ingat peristiwa saya bersama-sama dengan kakak saudara saya Long Pura binti Kulop Amin telah dibawa oleh nenek kami Teh Rela bagi kali pertama ke Pekan Teluk Anson di dalam tahun 1901, untuk melihat temasya dan permainan yang diadakan di bandar itu iaitu temasya berkhatan putra Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Musa iaitu Raja Abdul Aziz yang akhirnya dilantik sebagai Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abdul Aziz semasa ayahandanya Almarhum Raja Musa bersemayam di bandar itu.  Kami dibawa ke sana dengan menumpang perahu Megat Mat Lateh.  Selepas kami melihat wayang bangsawan pada malam yang penghabisan temasya itu kami telah sesat di jalan di tengah malam dini hari untuk mencari tempat perahu tumpangan kami.  Kami dikejar oleh berdulu-dulu oleh berpuluh-puluh penarik lanca (beca) dengan kereta mereka kerana mereka sangka kami hendak menyewa lanca.  Maklum sajalah di masa itu baharu saja kereta-kereta itu mula digunakan dan kereta-kereta itu masih beroda besi lagi.  Oleh itu, berapa heboh atau riuhnya bunyi roda-roda kereta yang berlari begitu berdulu-dulu kereta yang berlari begitu banyak berdulu-dulu menyerbu kami.  Oleh itu, hati kami tidak tinggal dalam perut lagi kecut oleh ketakutan tambahan pula melihat lampu apinya yang mengerlap.  Kami berdua dipimpin oleh nenek kami pada masa dini hari yang sudah hampir siang iaitu saya dipegang dengan tangan kanan dan kakak saya di tangan kiri sementara bertanya-tanya daripada seorang ke seorang yang dijumpa bertanya di mana Sungai Perak.  Maklum sajalah kepada sesiapa yang telah duduk di Teluk Anson iaitu oleh kerana bandar itu terletak di atas satu tanjung maka sebelah-menyebelahnya ialah Sungai Perak dan ada pula sungai yang ketiga dikelilingnya iaitu Sungai Bidor di sebelah Durian Sebatang dan juga ada satu sungai kecil lagi iaitu Sungai Pak Kalung yang dilalui oleh jalanraya ke Batak Rabit terus ke Bagan Datok.  Apabila kami sampai ke sungai maka kami tidaklah pula berjumpa dengan perahu yang kami tumpang kerana perahu yang begitu banyak di masa itu sentiasa diubah mengikut keadaan air pasang surut dan naik tambahan pula perahu yang kami tumpang telah terpaksa diubah jauh ke tengah sungai kerana banyak sangat perahu berhimpit-himpit.  Kesudahannya, dapatlah juga kami jumpa perahu tumpangan kami itu.


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA