Total Pageviews

Monday 16 February 2015

BERTUGAS DI JABATAN PELARAJAN NEGERI PERAK (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak:


(5) Sekolah Inggeris Private (Aided Mission School)

      Diantara Sekolah Inggeris, besar dan kecil - termasuk sekolah-sekolah private yang dibantu oleh kerajaan dengan cara dibayar bantuan 'Grant In Aid' kepada sekolah-sekolah itu termasuklah sekolah-sekolah yang bercorak ugama Kristian (Nasrani).

      Cara bantuan itu ialah dengan sekolah-sekolah itu menerima bantuan persekolahan daripada murid-murid yang belajar didalam sekolah itu, mengikut peraturan kerajaan itu bantuan yang diterima itu terpulang kepada sekolah-sekolah itu dan pihak kerajaan membayar baki yang tidak cukup bagi gaji guru dan sedikit sebanyak bayaran yang lain bagi menyara sekolah-sekolah itu selepas ditolak bayaran wang yang mereka terima bagi bantuan sekolah yang dikutip daripada murid-murid (school fees) sebagaimana yang disebutkan tadi.

     Gaji-gaji dan elaun yang dibayar kepada guru-guru yang dibayar di situ ialah mengikut sebagaimana peraturan (Scheme) kerajaan jua.

     Diantara tugas saya dimasa itu ialah pergi ke sekolah-sekolah termasuk sekolah-sekolah yang tersebut untuk memeriksa kira-kira kewangan dan laim-lain dan melihat cara menyimpan kira-kira. Apa yang amat menarik perhatian saya ialah gaji-gaji dan elaun yang dibayar kepada guru-guru daripada bangsa kulit putih sama ada bangsa Inggeris atau Amerika yang mengajar di sekolah yang tersebut tidak dibayar terus kepada guru-guru itu tetapi dibayar kepada ketua-ketua 'Brother Director' sekolah itu yang saya dapati pada lazim guru itu tidak menanda tangani surat bayaran gaji (paysheets) dan memadailah dengan tanda tangan Pengetua Sekolah yang telah saya sebutkan seorang saja - wang-wang itu selepas membayar keperluan guru-guru itu sedikit sebanyak seperti belanja makanan, pakaian dan sekali sekala pergi keluar dimasa penggal cuti persekolahan maka bakinya terpulang terus kepada sekolah sekolah itu setengah-setengah daripada guru-guru itu telah lama berkhidmat oleh itu menerima gaji yang tinggi hingga beribu ringgit pada sebulan yang dibayar bakinya sebulan seberapa tidak cukup oleh kerajaan.

     Selain daripada itu pula sekolah-sekolah itu menerima beberapa bayaran daripada murid-murid seperti bayaran permainan 'Games Fees' dan beberapa bayaran yang lain yang terpulang kepada sekolah-sekolah itu. Dengan cara ini sekolah itu biasanya mempunyai banyak wang yang terkumpul yang boleh digunakan bagi kemajuan sekolah-sekolah mereka dengan membesar lagi sekolah itu atau membuat sekolah-sekolah yang lain sambil menjalankan dakyah bagi memajukan ugama mereka ugama Kristian dan dengan cara inilah nampaknya dakyah mereka maju oleh kerana pengorbanan mereka terhadap pelajaran dan ugama.  .                

bersambung 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri 
HAK CIPTA TERPELIHARA

Catatan:
     Untuk makluman guru-guru tersebut merupakan mubaligh atau paderi Kristian yang ditempatkan oleh badan antarabangsa ugama mereka di sekolah-sekolah berkenaan. Kediaman atau tempat tinggal mereka adalah disediakan lazimnya di bangunan sekolah itu sendiri. Dimana kemudahan makanan, mencuci pakaian dan kebersihan kediaman disediakan.  Setiap mereka mempunyai bilek  atau ruang untuk kegunaan persendirian. Oleh itu keperluan kewangan mereka adalah minima berbanding dengan gaji yang diterima. Mereka mempunya sistem pentadbiran yang tersusun rapi diperingkat dunia, wilayah, rantau, negara dan daerah

No comments:

Post a Comment