(4) Guru-Guru Sekolah Melayu Darjah Khas (Special Grade)
Pada awal perkhidmatan saya (1949) di situ, saya dapati tiga jawatan itu telah kosong beberapa tahun oleh kerana pemegang jawatan itu tempoh hari bersara dan saya kemukakan supaya jawatan itu dipenuh dengan menaikkan guru-guru yang lain - tuan Nazir Agung menjawab yang ia tidak dapat memenuhkan jawatan itu kerana katanya pada pandangannya tidak seorang pun daripada guru yang ada dimasa itu yang difikirkannya layak untuk dinaikkan kedarjah itu, bagaimana pun katanya ia masih lagi memikirkan perkara itu, barang kali tuan itu ketahui yang adik saya sendiri Ngah Mohd Tawi adalah diantara yang kanan sekali diantara guru-guru itu. Tetapi apabila peraturan gaji (scheme-skim) baharu diluluskan bagi guru-guru Sekolah Melayu, tidak lama selepas itu maka didapati lebih daripada 60 orang guru itu yang ia fikirkan layak untuk mengisi 40 jawatan yang dinaikkan kedarjah itu mengikut bilangan guru-guru Sekolah Melayu dimasa itu.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
Catatan:
Allahyarham Haji Mohd Tawi menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Telok Bakong daripada 13 Januari
1923 hingga 13 November 1942. Difahamkan semasa Allahyarham Haji Mohd Tawi bertugas di situ, pada satu pagi mendiang E.C. Hicks telah pergi ke sekolah tersebut. Beliau tiba pada pukul 7.50 pagi dan mencepatkan jamnya selama 10 minit. Bila bertemu dengan Allahyarham Haji Mohd Tawi, mendiang E.C. Hicks sambil melihat jam tangannya telah bertanya kenapa sudah pukul 8.00 pagi murid masih belum masuk sekolah lagi. Allahyarham telah menjawab, "Maaf tuan, di sini tiada pejabat pos atau balai polis untuk dijadikan contoh. Di sini cuma ada Radio Malaya sahaja, jam saya malam tadi ikut jam Radio Malaya, belum pukul 8.00 lagi."