Total Pageviews

Monday, 30 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;




Bagi diri saya sendiri pula oleh kerana sedikit perselisihan saya dengan tuan Pegawai Jajahan itu ditempoh hari, maka tidaklah saya berani hendak meminta apa-apa wang bantuan atau wang pendahuluan, maka saya adalah seorang yang puteh mata saja melihat orang-orang lain mendapat wang pendahuluan dan saya nampak diantara yang menerima wang pendahuluan itu ada diantara yang telah menukar cek daripada pejabat yang dikatakan bukan bagi bayaran gaji mereka, tetapi bagi bayaran yang lain – tambahan pula dimasa itu wang gaji saya bagi bulan Disember 1941 yang telah saya terima sudah habis saya belanjakan untuk membaiki (overhaul) motokar saya kerana difikirkan dengan kereta itu yang sudah diperbaiki maka senanglah hendak lari ke mana-mana dengan tidak takut rosak untuk melindungi diri sendiri dan keluarga daripada apa-apa bencana peperangan, tetapi kesudahannya -------- saja --------  tetapi saya hingga jadi kecewa kerana ketiadaan apa-apa wang lagi ditangan.       


 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
         

               Catatan: ------ perkataan tidak boleh dibaca 

Monday, 23 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Dimasa itu nampaknya masing-masing dibayar wang pendahuluan kepada siapa yang berkehendak dan berani pula meminta-minta dan dibayar wang pendahuluan untuk beberapa bulan yang kehadapan sekurang-kurangnya sebulan gaji atau masa dharurat yang dikatakan atau dijanji akan dibayar balik kelak- dimasa itu tidak disangka yang pejabat-pejabat di situ terbakar

Pada masa itu pula belum ada lagi bank yang lain selain daripada bank Cina yang yang telah disebutkan. Oleh itu manager-manager kebun getah dan kelab yang besar di jajahan ini yang tidak mahu menyimpang wang mereka di bank yang tersebut dibenarkan menukar cek mereka dengan bank-bank di Ipoh dan lain di Perbendaharaan Kecil dengan membayar wang komesyen yang biasa. Didalam masa yang kacau bilau itu - disebabkan oleh peperangan itu manager-manager yang tersebut kesemuanya datang menukar cek mereka dengan wang tunai daripada Perbendaharaan Kecil yang tersebut.      
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 16 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Pejabat-pejabat lain telah mula ditutup, tidak lagi menjalankan tugas-tugas harian mereka. Pejabat saya Perbendaharaan Kecil terpaksa terus berjalan oleh kerana membuat bermacam-macam bayaran dengan arahan tuan Pegawai Jajahan dimasa itu iaitu A.V. Aston hingga petang 24 Disember 1941 sebelum cuti hari kelepasan Kerismes kerana dimasa itu hujung tahun kami terpaksa bekerja keras untuk membuat bayaran gaji pegawai-pegawai dan kaki-kaki tangan kerajaan dan jua bayaran-bayaran yang lain yang terpaksa dibayar sebelum habis tahun, kontrak-kontrak misalnya dan jua membayar cek bank yang dikeluarkan terutama oleh jabatan-jabatan Federal dan lain-lain dan bayaran-bayaran yang lain pula yang dimasa itu nampaknya tidak lagi mematuhi peraturan kewangan. Setelah habis membuat bayaran yang biasa maka datang pula beberapa pegawai dan orang-orang lain daripada sebelah utara yang mana telah diduduki oleh tentera-tentera Jepun meminta-minta bantuan kerana dikatakan di tempat-tempat mereka pejabat Perbendaharaan Negeri lebih terdahulu telah ditutup sebelum cek-cek dan gaji mereka bagi bulan Disember 1941 dan lain-lain dapat dibayar. Selain daripada itu itu pula maka pegawai dan kaki-kaki tangan kerajaan yang bertugas di Telok Anson pun sama ada daripada pejabat Negeri atau Federal telah mula meminta-minta wang pendahuluan (Advances). Gaji yang dibayar dengan kebenaran atau persetujuan tuan Pegawai Jajahan dengan tidak menyediakan apa-apa baucer lagi cuma diatas sekeping atau secebik kertas kecil saja. Kebetulan pula pada masa itu Overseas Chinese Bank Telok Anson hendak menutup bank itu untuk lari dengan menyerahkan semua wang yang ada di bank itu kepada Perbendaharaan Kecil kerajaan dengan mengambil sekeping cek daripada Perbendahaan Kecil sebanyak wang yang diserahkan untuk gantinya yang akan boleh diguna kelak kerana dengan cara itu wang mereka akan terselamat daripada merbahaya perompak, wang itu pula dapat diguna oleh Perbendaharaan Kecil untuk bayaran yang dikehendakinya



 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 9 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Selepas sahaja pengistiharan perang diumumkan maka orang ramai mula berpindah daripada bandar ke kampung-kampung dengan membawa barang-barang dan perkakas-perkakas rumah mereka masing-masing. Pekedai-pekedai telah menutup kedai-kedai mereka dan memindahkan barang-barang ke tempat-tempat lain yang jauh daripada bandar oleh itu orang ramai tidaklah lagi boleh mendapat membeli barang-barang keperluan harian mereka.
 
 
 
 
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 
             Catatan: Setakat yang mampu dilakukan

Monday, 2 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;




Oleh kerana belum pernah berlaku peperangan di negeri ini semenjak saya dilahirkan maka tidaklah kami ketahui apa langkah yang patut diambil untuk menghadapi sebarang kemungkinan, tambahan pula kami berfikir negeri adalah bernaung saja di bawah panji-panji pemerintahan kerajaan Inggeris bukan takluknya, oleh itu kami juga berfikir iaitu negeri ini tidak jadi musuh kepada mana-mana kerajaan yang memerangi kerajaan Inggeris ------- atau sekurang-kurangnya kerajaan Inggeris yang termegah mempunyai kerajaan yang  matahari tidak pernah jatuh atau cukup kekuatan untuk menawani negeri-negeri dibawah naungannya.

Dimasa peperangan itu mula berlaku pada 8.12.1941 anak saya yang tua sekali Mohamed Shamsudin (sekarang Dato) ada mengaji di Raffles College Singapura (dibawah takluk Inggeris) selepas bandar itu dijatuhkan bom oleh pihak tentera pada awal peperangan itu maka telah terdengar khabar menerusi akhbar dan radio iaitu beberapa orang budak yang  sama mengaji dengan anak saya itu ------------------------------------letupan bom dan tiga orang daripadanya termasuk seorang anak kepada Incik Muhammad Yusof pegawai perumahan pejabat Bandaran Telok Anson telah terbunuh . Pelajar-pelajar yang lain melarikan diri kesana sini dan oleh kerana perjalanan kereta api Tanah Melayu telah terputus   maka mereka tidak dapat balik pulang terus ketempat  masing-masing oleh yang demikian mungkin tidaklah dapat apa-apa perkhabaran daripada anak saya itu sehingga beberapa hari terkemudian ia sampai ke rumah kami di Telok Anson diwaktu malam dalam masa gelab gulita oleh kerana masa berkurung telah dikuatkuasa dan orang-orang ramai dilarang keras memasang lampu pelita diwaktu malam di rumah masing-masing dan pelita di jalan raya tidak dipasang lagi.

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
  

Catatan:  Tanda ------------- adalah bagi perkataan yang tidak dapat dibaca dan akan dimasukkan sekiranya dapat dibaca kelak