Total Pageviews

Monday 10 March 2014

SEJARAH AWAL NEGERI PERAK (Sambungan 10): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK


Berbalik kembali kepada riwayat arus air Sungai Perak yang telah diubah dan dilepaskan melalui terusan atau taliair besar yang telah digali atau dikorek sebelah kiri Sungai Perak di Kampung Kuchai di dalam Mukim Lambor Kiri tempoh hari, maka oleh kerana airnya amat deras dan dalam maka dalam sedikit masa saja sungai di situ semakin luas kerana tebingnya semakin rebak lebih-lebih lagi selepas air bah sebagaimana pepatah orang-orang tua sekali bah sekali pantai berubah.

Di sebelah Kampung Air Mati (Tanah Abang) dan Pasir Telur di sebelah Telok Bakong di pantai sebelah kanan Sungai Perak oleh kerana air sungai yang melalui pantai di situ telah tenang maka pasir pula yang dibawa oleh sungai daripada hulu telah timbul di olak itu lalu menganjur jauh ke tengah sungai.  Pasir yang timbul itu semakin lama semakin tinggi terutama selepas air bah.  Tidak beberapa lama tumbuh pula pokok kayu di atas pasir itu jadi tanah dan akhirnya boleh dicucuk-tanam dengan pokok buahan dan pokok getah.  Tempat itu sudah jadi tanjung dan langsung dinamakan Kampung Tanjung dan dengan kejadian itu Mukim Lambor Kanan telah dapat sebuah kampong baharu yang luas.  Masih diingati lagi di masa tempat itu semata-mata pasir.

Keadaan ini akibatnya amat buruk kepada pantai tebing kampung seberangnya di sebelah kiri Sungai Perak daripada Kampung Kuchai sebelah hulunya hingga Kampung Tua Lambor Kiri sebelah hilir kerana semenjak itu pantai tebing sungai sebelah kiri sentiasalah rebak tanahnya jatuh ke sungai lebih-lebih lagi di lingkungan Kampung Bharu kerana di seberang kampong itulah di sebelah kanan sungai sebagaimana telah disebutkan telah muncul sebuah kampong baharu yang dinamakan Kampung Tanjung yang sentiasa bertambah menganjur jauh ke tengah.  Oleh itu, air sungai di situ lebih deras airnya menuju ke kampong disebelah kiri yang mana tanahnya lebih rendah daripada tempat-tempat lain.
 

bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
 HAK CIPTA TERPELIHARA


Catatan: 

Nama Kampung Ayer Mati telah bertukar nama kepada Kampung Padang Marhum sejak tahun 70an maklumat daripada Encik Shaudin (shaudin)

2 comments:

  1. Kg Ayer Mati telah bertukar nama kepada Kg Padang Marhum sejak tahun 70an lagi. Saya adalah penduduk kg ini. Rumah saya (sejak datuk saya lagi) terletak bersebelahan dengan makam Sultan Muzaffar Shah 1.

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih. Maklumat yang diberi diambil maklum. Walau bagaimanapun yang disiarkan adalah seperti yang dicatatkan oleh Allahyarham Haji Mohd Yaakob.

    ReplyDelete