Total Pageviews

Monday 9 December 2013

SEDIKIT TAWARIKH DIRIWAYATKAN GELARAN-GELARAN YANG DISANDANG OLEH ANAK BUMIPUTRA LAMBOR KIRI (SAMBUNGAN 8): SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK



Demikian di zaman yang sama iaitu di zaman Al-Marhum Raja Muda Musa di Teluk Anson (Telok Intan) baginda telah juga memanggil untuk berkhidmat bersama baginda empat orang daripada keluarga kami di Lambor Kiri iaitu:-
(1)               Alang Mat Jabar bin Toh Dewa
(2)               Mat Amin (Omin) bin Toh Dewa
(3)               Arbi bin Toh Dewa
(4)               Pandak Logam bin Pandak Demat

Alang Mat Jabar bin Toh Dewa (Haji Mohd Jabar) telah dilantik sebagai Penghulu Lambor Kiri sebagaimana yang telah disebutkan dan bersara daripada jawatan di mukim itu juga.

Diriwayatkan selepas kemasukan pemerintah Kerajaan Inggeris maka telah dicuba dilantik orang daripada keluarga yang lain untuk gelaran Seri Dewa Maharaja tetapi dengan takdir tuhan mereka yang dilantik itu tidak berapa kekal dan meninggal dunia tidak berapa lama selepas mereka dilantik bagi jawatan atau gelaran itu.  Tidaklah diketahui dengan sebenarnya di masa itu adakah orang yang memegang gelaran itu demikian juga  gelaran Toh Maharaja Paduka.

Mengikut sebagaimana riwayat di zaman dahulu orang yang menyandang gelaran Toh Maharaja Paduka ialah utusan atau harapan baginda Sultan yang akan pergi ke tiap-tiap daerah daripada semasa ke untuk menerima cukai atau khazanah daripada pembesar-pembesar daerah bagi pihak baginda.  Dizaman itu selain daripada cukai kuala maka pembesar-pembesar daerahlah memungut cukai-cukai itu bagi pihak baginda.

Toh Seri Nara Diraja dan Toh Seri Dewa Maharaja pula diberi kuasa untuk mereka pada mulanya di kawasan Sungai Pelus iaitu daripada Sungai Pelus ke Gunung Bubu dan menjaga manusia yang bermukim di dalam kawasan tersebut termasuk Orang-orang Darat atau Orang Asli.  Tetapi di masa yang akhir sehingga tiba pemerintahan kerajaan Inggeris di negeri ini, maka mereka kedua yang di masa itu daripada satu keluarga telah memerintah di kawasan sebelah menyebelah Sungai Kinta hingga ke Kampar.  Di masa yang akhir seorang daripada anak Toh Dewa Maharaja Panjang Ogek iaitu Pandak Taha bin Panjang Ogek ditempatkan di Kampar untuk menjaga di kawasan itu yang ia telah berkahwin di tempat itu dan hingga sekarang ramai anak-anak cucunya bermukim dan tidak balik ke Lambor Kiri kerana ia telah meninggal dunia di situ.  Toh Seri Dewa yang tersebut telah meninggal dunia serta dikuburkan di Lambor Kiri selepas pemerintahan orang-orang Inggeris datang ke Perak.  Ia telah dikuburkan di dalam kawasan kampungnya atau dengan tegasnya di kampong isterinya Toh Kesuma Long Sharifah bin Toh Nara Pandak Manan sendiri, di Kampung Tua, Lambor Kiri dan kuburnya itulah jadi adat sentiasa dilawati oleh cucu cicitnya dan zuriatnya sendiri daripada semasa ke semasa.  Disitu juga didapati beberapa kubur orang-orang zaman dahulu di antaranya kubur-kubur anak-anak cucunya seperti kubur anaknya Alang Abdul Ghafar daripada masanya dahulu Penghulu di situ dan kubur anaknya Itam Nila iaitu nenek kami.







Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA


Editor: Ada seorang yang selalu masuk sini melalui laman tak senonoh. Buat malu mak bapak aje, belajar tinggi buat kerja macam itu. Eloklah buat kerja lain yang lebih baik. 



No comments:

Post a Comment