BAHAGIAN YANG
KEENAM
Keturunan “Muntah
Lembu”
Di hujung ini digambarkan salasilah “Muntah Lembu”
yang diriwayatkan turun-temurun di antara keluarga itu. Sebagaimana yang diterangkan iaitu ialah
salasilah “Muntah Lembu” atau salasilah keluarga muntah lembu dan sekadar
begitulah sahaja berakhirnya. Oleh itu,
tidaklah diketahui atau menceritakan kisah adik yang ketiga yang dipelihara
oleh ninda mereka Raja Petrali.
Mengikut satu cerita yang diriwayatkan setelah
ditabal Sang Sapurba di Palembang atau Minangkabau maka Bahta telah dilantik
menjadi seorang pembesar negeri itu dan berumah tangga di negeri itu dengan
mendapat tiga orang anak lelaki (1) Tun Khamis (2) Tun Kelawang dan (3) Tun
Jelan.
Di zaman itu, beberapa tempat atau negeri di
Semenanjung Tanah Melayu termasuk negeri Perak belum lagi ada beraja atau
pemerintah dan teluk rantau terutamanya di pantai sungai-sungai diduduki oleh
kaum-kaum asli di sana-sini berpuak-puak seperti Sakai, Temiang, Semang dan
lain-lain lagi dengan tidak ada ketua-ketua atau pemerintah-pemerintah yang
tertentu. Kebetulan itu di masa itu ketiga orang anak Bahta
telah dewasa dan masing pula ada beberapa orang ikutan. Mereka bermesyuarat di antara mereka dan
bersetuju untuk berpindah atau berhijrah ke tanah besar untuk membuka
negeri-negeri baharu yang lebih lapang.
Ketiga-tiga
mereka adik-beradik dengan persetujuan Orang Besar dan ibu-bapa mereka, maka
mereka telah sediakan sebuah kapal atau tongkang layar untuk menyeberang laut
besar ke tanah besar iaitu Semenanjung Tanah Melayu. Mereka meninggalkan tanah air mereka
bersama-sama ikutan mereka. Seorang daripada
mereka Tun Kelawang sebagai ketua berserta dengan orang-orang ikutannya
termasuk seorang Tuan Kadi telah mendarat dan masuk ke Negeri Perak dan seorang
lagi iaitu Tun Jelan bersama-sama dengan orang ikutannya terus belayar dan
mendarat di Negeri Melaka.
Tun Khamis
berserta dengan Tuan Kadi dan semua orang-orang ikutannya masuk ke negeri Perak
dengan melalui Sungai Perak mudik ke hulu untuk membuka negeri pada mulanya di
tepi-tepi tebing Sungai Perak di sebelah kiri mudik termasuk Lambor Kiri.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas
Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment