Satu riwayat menceritakan iaitu setelah
terdengar khabar ke Negeri Siam iaitu setelah Sultan Muzzafar Shah ditabalkan
sebagai Sultan yang pertama negeri Perak maka askar-askar daripada negeri Siam
telah dihantar untuk melanggar dan menakluk negeri Perak yang baru sahaja
berkerajaan sendiri. Mereka datang dengan
angkatan yang besar dan Sultan Muzzafar Shah serta orang-orang Perak telah
sambut mereka cara damai. Mereka
sediakan makan minum dan tempat-tempat bagi askar-askar itu.
Orang-orang Perak telah masakkan
berkawah-kawah nasi dengan bertungkukan buah-buah sukun yang besar yang dipetik
daripada pokok-pokok buah itu yang banyak disekeliling itu. Buah Sukun yang dijadikan tungku itu sudah
masak dan sedap dimakan maka mereka-mereka orang Siam yang memerhatikannya hairan
melihat perkara itu yang mereka anggap ganjil kerana mereka menyakkakan ubi
yang biasanya jadi di dalam tanah telah berpokok pula. Selepas mereka askar-askar
Siam
itu dijamukan makan-minum maka disediakan pula tempat mereka hendak tidur. Oleh itu, telah disediakan satu tempat yang
lapang dengan bertikarkan daun jelatang gajah yang banyak tumbuh dekat
situ. Apatah lagi apabila mereka tidur
di malam itu maka masing-masing mereka telah dijangkit penyakit yang amat gatal
oleh kerana tubuh mereka bersentuh kepada tikar-tikar jelatang gajah itu
sehingga mereka masing-masing tidak tertahan lagi lalu terjun ke Sungai Perak
yang berhampiran yang terlalu deras airnya dan setengah daripada mereka telah
hanyut dibawa arus yang deras itu dan langsung ghaip. Mana-mana yang ada tinggal lagi terus cabut
lari pada malam itu jua kerana mereka telah memikirkan iaitu alangkan daun kayu
kayan yang tumbuh di negeri itupun lalu melawan mereka dan tungku-tungku tempat
mereka memasak nasi pun boleh dimakan apatah lagi orangnya melawan berperang.
Tentulah mereka tewas. Hingga masa ini
tempat itu yang dinamakan Parit Siam
masih ada lagi di Kampung Sedingka disebelah utara dan berdekatan dengan makam
Al-Marhum Tanah Abang.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
No comments:
Post a Comment