Di antara beberapa kali saya mengikuti guru besar saya ke sana ke mari ke mana juga ia pergi, maka saya tidak boleh lupakan satu peristiwa yang mengelikan hati. Pada kali ini seorang budak yang lain lebih kecil daripada saya tetapi berazam sangat hendak melihat pekan dan sanggup berjalan kaki daripada tempatnya Telok Bakong ke Tronoh melalui dan mengikut jalan simpang-siur, jalan penarik kerbau. Ia adalah seorang budak namanya Alang (ada lagi namanya penuh tetapi saya berasa segan hendak menerangnya). Ia duduk di seberang sungai, iaitu kampong Telok Bakong. Ia datang ke Lambor Kiri dan duduk bersama Tok Guru, Guru Quran kami di Sekolah Melayu Lambor Kiri. Namanya Imam Gamat yang duduk di Kampung Bakong iaitu di seberang tempat rumah ibu bapanya di Telok Bakong. Di masa itu belum ada lagi sekolah di Telok Bakong (Mukim Lambor Kanan). Oleh itu, lebih senang ia datang menyeberang ke Kampung Bakong untuk belajar Quran pada malam hari daripada pergi belajar di Sekolah Lambor Kanan yang lebih jauh.
Pada hari yang ditetapkan ia pergilah bersama-sama kami ke Tronoh. Apabila kami sampai ke Tronoh dengan berasa letih dan dahaga maka Cikgu kami belikan kami masing-masing segelas kecil aiskrim daripada Cina panjang. Saya terperanjat bila ia gigit telinga saya sebelah kiri. Katanya, “Aku sejuk sangat” rupanya dengan sekali gus saja dimasukkan semua aiskrim yang amat sejuk itu ke dalam mulutnya kerana ia belum mengetahui memakannya sedikit demi sedikit. Selepas itu kamipun masuklah ke dalam stesyen keretapi Tronoh. Sementara Cikgu kami pergi membeli tiket hendak ke Seputih, ia bertanya saya “apa merogasnya datang merayap itu?” Jawab saya, “itulah keretapi yang akan membawa kita ke Seputih.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA