MELAWAT PULAU PINANG
Di dalam masa cuti persekolahan bagi bulan puasa dan Hari Raya tahun 1910, isteri cikgu besar kami bernama Rahimah binti Haji Abu Bakar hendak balik ke tanah airnya Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Ia saya anggap sebagai ibu angkat saya. Dizaman itu Sekolah Melayu ditutup 30 hari selama bulan puasa dan enam hari sebagai cuti Hari Raya.
Cikgu Kechil suaminya iaitu guru besar saya bawa saya pergi sana. Pada kali ini pergi dengan kapal laut. Kami menaiki kapal “Canton” pada 30 Sya’aban (malam mula puasa). Saya di masa itu tidak sekali tahu iaitu rupanya pasang rabung di laut berlaku pada tiap 15 haribulan penuh dan pada tiap-tiap 30 (hujung bulan) pada tia-tiap bulan Hijrah dan di masa itu ombak laut amat kencang. Kapal Conton yang kami naiki adalah kecil dan amat golek. Pada kali ini dikatakan angin laut yang luar biasa terlebih amat kencang hingga tiap-tiap penumpang dek pada masa itu jatuh mabuk oleh kerana kapal itu amat golek dan hampir karam. Saya tidak faham begitukah keadaan biasanya di kapal-kapal laut. Oleh itu saya berniat saya tidak hendak lagi lagi naik kapal laut selepas itu. Saya jua berasa hairan dan segan bertanya di dalam keadaan yang kelam kabut itu mengapa di malam itu beberapa orang Islam di antara penumpang-penumpang bang dan qamat di tengah malam yang gelita itu. Rupa-rupanya mereka berdoa kepada tuhan meminta selamatkan mereka daripada bencana karam di laut.
Pada pagi besoknya, dalam pelayaran itu, kami bertemu dengan sebuah tongkang yang telah karam di laut dan tiga orang penumpangnya masih lagi terapong-apong dan berpegang kepada hujung tiang layar tongkang itu sambil meminta tolong tetapi kapal Canton yang jua di dalam merbahaya tidak dapat menolong mereka. Mereka telah diselamatkan oleh sebuah kapal yang lain yang lalu di belakang itu.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA