Sebagaimana diriwayatkan oleh nenek saudara kami Teh Rela yang kami anggap lebih daripada nenek kandungnya kami sendiri dan yang memelihara kami adik-beradik di masa kami kecil kerana sebagaimana yang telah termaklum kami di masa itu dan tidak pernah ada nenek kami sendiri sama ada di pihak bapa ataupun ibu maka dengan takdir tuhan yang maha kuasa pada masa itu terjadilah satu keramaian di Bandar DiRaja Kuala Kangsar bersempena dengan satu perkahwinan DiRaja di Bandar itu. Sebagaimana kebiasaan di masa itu (dan sekarangpun) maka berbagai-bagai permainan dan pertunjukkan telah diadakan di situ siang dan malam selama 40 hari dan malam maka berhimpunlah sekalian rakyat jelata seluruh negeri untuk melihat dan menyaksikan temasya itu. Maka pihak tok nenek dari keluarga kami daripada Lambor Kiri pun datang mudik dengan sampan ke Kuala Kangsar dan di antara yang pergi ke sana itu termasuklah ibu saya yang di masa itu sudah dara sunti. Perahu mereka lalu singgah di tepi sungai Kuala Kangsar dan dengan tidak disangka-sangka rupanya sekadar berselang sebuah sampan saja dengan perahu dinaiki datuk saya Ngah Kenta yang telah terlebih dahulu sampai ke situ daripada Selat Pulau.
Apabila masing-masing telah mengetahui kejadian yang tidak disangka itu maka bermuafakatlah pihak waris-waris ibu saya dan keputusannya mereka bersetuju menjumpakan dan mengenalkan ibu saya itu dengan ayahnya bagi kali yang pertama - bagi pihak datuk saya pula sebelum dikenalkan anaknya kepadanya ia telah mengerti terlebih dahulu dan dengan teriak tangis masing-masing mengaku bermaaf-maaf satu sama lain sebagaimana perpatah orang-oran tua “Buang yang keruh ambil yang jernih”, “Busuk-busuk daging kikincah-kincah dimakan jua” dan semenjak itu baharulah ia datang menjenguk dan unjuk-beri kepada anaknya.
Sebagaimana yang telah disebutkan dahulu, ibu saya telah beribu angkat menyusukan kepada semua ibu-ibu yang beranak kecil semasa ia lepas dilahirkan ke dunia ini di seluruh mukim itu sudah jadi saudara sesusu berhimpun kepadanya yang menghalang perkahwinan kerana sepersusu tetapi dengan takdir tuhan bapa saya Ngah Abas (Haji Abas) yang hampir sekali ganda umurnya dengan umur ibu saya di masa itu belum lagi berkahwin. Abangnya Kulop Deris iaitu saudaranya yang tunggal telah berkahwin dengan saudara sepupu ibu saya Ngah Naimah binti Ngah Seman dan telah melahirkan beberapa orang anak. Oleh kerana perbezaan umur kedua (ibu dan bapa saya) maka tidaklah berbabangkit soal susu menyusu dan tuhan jodohkan mereka kedua dengan diwalikan oleh bapa ibu saya sendiri Ngah Kenta. Di masa yang berbahagia itu datuk saya telah membawa anaknya Uda Kidin, bapa saudara kepada kami untuk diam dan duduk bersama dengan kakaknya. Di masa itu datuk saya itu telah berkahwin pula yang lain selepas ibu kepada bapa saudara saya itu meninggal dunia dan mendapat pula beberapa orang anak yang lain di antaranya:-
1. Alang Arom
2. Shamsuddin
3. Andak Kisum
4. Anjang
5. Long (yang bongsu)
Selepas itu perkahwinan kedua ibu bapa saya itu selama tiga tahun atau hampir empat tahun dikatakan tidak pula melahirkan seorang anakpun. Oleh itu, hebohlah segala bapa-bapa dan ibu-ibu saudaranya yang ramai bernazar di merata-rata keramat-keramat yang diketahui di masa itu supaya ia melahirkan atau mendapat anak.
Dengan takdir Illahi ibu saya telah melahirkan saya di Lambor Kiri dalam Jajahan Kecil Parit pada hari Isnin 25hb. Oktober 1897 bersamaan dengan 28 Jamadilakhir 1315 tahun bah (banjir) yang pertama di negeri ini. Terdahulu daripada itu telah dilahir jua ke dunia ini kakak saudara saya Long Pura binti Kulop Amin. Kami berdua telah dilahirkan semasa ada hayat moyanghanda kami Long Sharifah binti Toh Seri Nara Pandak Manan yang bergelar Toh Kesumba sebagai isteri Toh Dewa (Toh Seri Dewa Maharaja) Panjang Ogek.
Kepada Moyanghanda kami itu maka kakak saudara kami Long Pura itulah cicitnya perempuan yang tertua dan yang pertama dan saya ialah cicit lelaki yang tertua sekali yang pertama dilahirkan ibu kepadanya dan kepada ibu-ibu dan bapa-bapa saudara kami yang ramai. Maka kamilah pangkat anak yang tertua sekali. Demikian juga kepada nenek-nenek dan datuk-datuk saudara kamilah juga yang tertua pada peringkat cucu. Oleh it, kami berdua adalah kesayangan dan dikasihi yang berlebihan kepada seluruh keseluruhannya apatah lagi kepada diri saya sendiri oleh kerana ibu saya yang terdahulu sudah menjadi anak pelihara dan kesayangan mereka kerana tidak beribu dan seolah-olah tidak berayah.
Moyanghanda kami itu telah meninggal dunia di dalam tahun 1901 semasa kami berumur lebih kurang empat tahun dan semasa adik saya Ngah Mohd Tawi berumur satu tahun yang ia belum ingat tetapi kami tidak sedar kerana semasa ianya sakit teruk dan langsung meninggal dunia kami yang masih kecil dipisahkan ke tempat lain untuk sementara dan selepas dikebumikan mayatnya baharulah kami dibawa balik pulang ke rumah tua.
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA