Total Pageviews

Monday, 30 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;




Bagi diri saya sendiri pula oleh kerana sedikit perselisihan saya dengan tuan Pegawai Jajahan itu ditempoh hari, maka tidaklah saya berani hendak meminta apa-apa wang bantuan atau wang pendahuluan, maka saya adalah seorang yang puteh mata saja melihat orang-orang lain mendapat wang pendahuluan dan saya nampak diantara yang menerima wang pendahuluan itu ada diantara yang telah menukar cek daripada pejabat yang dikatakan bukan bagi bayaran gaji mereka, tetapi bagi bayaran yang lain – tambahan pula dimasa itu wang gaji saya bagi bulan Disember 1941 yang telah saya terima sudah habis saya belanjakan untuk membaiki (overhaul) motokar saya kerana difikirkan dengan kereta itu yang sudah diperbaiki maka senanglah hendak lari ke mana-mana dengan tidak takut rosak untuk melindungi diri sendiri dan keluarga daripada apa-apa bencana peperangan, tetapi kesudahannya -------- saja --------  tetapi saya hingga jadi kecewa kerana ketiadaan apa-apa wang lagi ditangan.       


 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
         

               Catatan: ------ perkataan tidak boleh dibaca 

Monday, 23 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Dimasa itu nampaknya masing-masing dibayar wang pendahuluan kepada siapa yang berkehendak dan berani pula meminta-minta dan dibayar wang pendahuluan untuk beberapa bulan yang kehadapan sekurang-kurangnya sebulan gaji atau masa dharurat yang dikatakan atau dijanji akan dibayar balik kelak- dimasa itu tidak disangka yang pejabat-pejabat di situ terbakar

Pada masa itu pula belum ada lagi bank yang lain selain daripada bank Cina yang yang telah disebutkan. Oleh itu manager-manager kebun getah dan kelab yang besar di jajahan ini yang tidak mahu menyimpang wang mereka di bank yang tersebut dibenarkan menukar cek mereka dengan bank-bank di Ipoh dan lain di Perbendaharaan Kecil dengan membayar wang komesyen yang biasa. Didalam masa yang kacau bilau itu - disebabkan oleh peperangan itu manager-manager yang tersebut kesemuanya datang menukar cek mereka dengan wang tunai daripada Perbendaharaan Kecil yang tersebut.      
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 16 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Pejabat-pejabat lain telah mula ditutup, tidak lagi menjalankan tugas-tugas harian mereka. Pejabat saya Perbendaharaan Kecil terpaksa terus berjalan oleh kerana membuat bermacam-macam bayaran dengan arahan tuan Pegawai Jajahan dimasa itu iaitu A.V. Aston hingga petang 24 Disember 1941 sebelum cuti hari kelepasan Kerismes kerana dimasa itu hujung tahun kami terpaksa bekerja keras untuk membuat bayaran gaji pegawai-pegawai dan kaki-kaki tangan kerajaan dan jua bayaran-bayaran yang lain yang terpaksa dibayar sebelum habis tahun, kontrak-kontrak misalnya dan jua membayar cek bank yang dikeluarkan terutama oleh jabatan-jabatan Federal dan lain-lain dan bayaran-bayaran yang lain pula yang dimasa itu nampaknya tidak lagi mematuhi peraturan kewangan. Setelah habis membuat bayaran yang biasa maka datang pula beberapa pegawai dan orang-orang lain daripada sebelah utara yang mana telah diduduki oleh tentera-tentera Jepun meminta-minta bantuan kerana dikatakan di tempat-tempat mereka pejabat Perbendaharaan Negeri lebih terdahulu telah ditutup sebelum cek-cek dan gaji mereka bagi bulan Disember 1941 dan lain-lain dapat dibayar. Selain daripada itu itu pula maka pegawai dan kaki-kaki tangan kerajaan yang bertugas di Telok Anson pun sama ada daripada pejabat Negeri atau Federal telah mula meminta-minta wang pendahuluan (Advances). Gaji yang dibayar dengan kebenaran atau persetujuan tuan Pegawai Jajahan dengan tidak menyediakan apa-apa baucer lagi cuma diatas sekeping atau secebik kertas kecil saja. Kebetulan pula pada masa itu Overseas Chinese Bank Telok Anson hendak menutup bank itu untuk lari dengan menyerahkan semua wang yang ada di bank itu kepada Perbendaharaan Kecil kerajaan dengan mengambil sekeping cek daripada Perbendahaan Kecil sebanyak wang yang diserahkan untuk gantinya yang akan boleh diguna kelak kerana dengan cara itu wang mereka akan terselamat daripada merbahaya perompak, wang itu pula dapat diguna oleh Perbendaharaan Kecil untuk bayaran yang dikehendakinya



 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 9 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

 
Selepas sahaja pengistiharan perang diumumkan maka orang ramai mula berpindah daripada bandar ke kampung-kampung dengan membawa barang-barang dan perkakas-perkakas rumah mereka masing-masing. Pekedai-pekedai telah menutup kedai-kedai mereka dan memindahkan barang-barang ke tempat-tempat lain yang jauh daripada bandar oleh itu orang ramai tidaklah lagi boleh mendapat membeli barang-barang keperluan harian mereka.
 
 
 
 
 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 
             Catatan: Setakat yang mampu dilakukan

Monday, 2 June 2014

PERANG DUNIA KEDUA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;




Oleh kerana belum pernah berlaku peperangan di negeri ini semenjak saya dilahirkan maka tidaklah kami ketahui apa langkah yang patut diambil untuk menghadapi sebarang kemungkinan, tambahan pula kami berfikir negeri adalah bernaung saja di bawah panji-panji pemerintahan kerajaan Inggeris bukan takluknya, oleh itu kami juga berfikir iaitu negeri ini tidak jadi musuh kepada mana-mana kerajaan yang memerangi kerajaan Inggeris ------- atau sekurang-kurangnya kerajaan Inggeris yang termegah mempunyai kerajaan yang  matahari tidak pernah jatuh atau cukup kekuatan untuk menawani negeri-negeri dibawah naungannya.

Dimasa peperangan itu mula berlaku pada 8.12.1941 anak saya yang tua sekali Mohamed Shamsudin (sekarang Dato) ada mengaji di Raffles College Singapura (dibawah takluk Inggeris) selepas bandar itu dijatuhkan bom oleh pihak tentera pada awal peperangan itu maka telah terdengar khabar menerusi akhbar dan radio iaitu beberapa orang budak yang  sama mengaji dengan anak saya itu ------------------------------------letupan bom dan tiga orang daripadanya termasuk seorang anak kepada Incik Muhammad Yusof pegawai perumahan pejabat Bandaran Telok Anson telah terbunuh . Pelajar-pelajar yang lain melarikan diri kesana sini dan oleh kerana perjalanan kereta api Tanah Melayu telah terputus   maka mereka tidak dapat balik pulang terus ketempat  masing-masing oleh yang demikian mungkin tidaklah dapat apa-apa perkhabaran daripada anak saya itu sehingga beberapa hari terkemudian ia sampai ke rumah kami di Telok Anson diwaktu malam dalam masa gelab gulita oleh kerana masa berkurung telah dikuatkuasa dan orang-orang ramai dilarang keras memasang lampu pelita diwaktu malam di rumah masing-masing dan pelita di jalan raya tidak dipasang lagi.

 bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
  

Catatan:  Tanda ------------- adalah bagi perkataan yang tidak dapat dibaca dan akan dimasukkan sekiranya dapat dibaca kelak 



 
        

Monday, 26 May 2014

PERANG DUNIA KEDUA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



           PERANG DUNIA KEDUA


Pada pagi subuh 8 Disember 1941 heboh terdengar menerusi radio ia-itu Kerajaan Jepun telah memulakan peperangan dengan Kuasa Yang Bersekutu termasuk Amerika Syarikat dan Britain. Dikatakan jua ia-itu Jepun telah mula menyerang musuh sebelum peperangan diistiharkan dan kubu-kubu kepunyaan Amerika Syarikat di Pearl Harbour telah dibedil terok oleh Angkatan Laut Jepun.

Pada masa itu saya berkerja di pejabat Perbendaharaan Kecil (Sub-Treasury) Telok Anson dan pada pagi-pagi hari itu kami pergi ke pejabat dan telah dapat tahu tentera Jepun telah masuk mendarat di Kelantan sebelah utara.

Kejadian itu telah memeranjatkan keadaan kerana dimasa Perang Dunia yang Pertama tahun 1914-18 pihak Jepun adalah disebelah pihak Kuasa Yang Bersekutu. Oleh itu tidaklah terjadi peperangan disebelah sini, kecuali di Pulau Pinang dimana kapal Perang Inggeris semasa belayar di situ telah dibedil oleh kapal perang Jerman bernama “EMDEN”.

Peperangan Dunia yang Kedua telah bermula di Eropah semenjak tahun 1939 tetapi oleh kerana dimasa itu Jepun belum lagi menyebelahi dimana-mana kuasa maka tidaklah berlaku peperangan disebelah sini hingga 8 Disember 1941 sebagaimana yang telah disebutkan. Bagaimanapun pemerintah Inggeris telah mengambil langkah untuk bersedia bagi sebarang kemungkinan        

 bersambung


Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 19 May 2014

KEMBARAN 1(Sambungan 2):SEJARAH DAN RIWAYAT KAMPUNG SAYA LAMBOR KIRI PARIT PERAK



Setelah terdengar kepada Demang Lebar Daun Raja negeri itu bahawa Wan Empun dan Wan Malini telah dapat anak raja daripada anak-cucu Raja Iskandar Dzulkarnain telah turun di Bukit Seguntang maka Demang Lebar Daunpun datang mengadap dengan membawa persembahan terlalu banyak. Aneka yang indah-indah maka selamat dipermuliakan oleh Sang Sapurba,  Telah masyhurlah kepada segala negeri bahawa anak raja daripada anak-cucu Raja Iskandar Dzurkarnain telah turun di Bukit Seguntang Mahameru maka mereka itu datang mengadap raja itu serta membawa persembahan masing-masing.

Arakian tersebutlah kisah dua anak Raja Chulan daripada tiga beradik yang tinggal dengan ninda mereka Raja Petrali.  Selepas sedikit masa maka Raja Petrali teringatlah pula akan janjinya bagi menghantar cucunda baginda ke dunia.  Tambahan pula baginda berasa khuartir apalah terjadi kepada cucundanya yang tua yang telah dihantar ke dunia lebih awal.

Baginda terus bersiap sedia bagi menghantar cucunda yang kedua bernama Bahta ke dunia.  Sebagaimana Raja Chulan dan anakandanya Sang Sepurba dapat balik ke dunia semasa dahulu. Oleh itu Raja Petrali pun melengkapkan cucundanya yang kedua dengan pakaian Diraja yang bertatahkan ratna mutu manikam.  Selain daripada itu pula, dikurniakan baginda bersama perkakas kerajaan baginda Raja Iskandar Dzurkarnain termasuk sebuah mahkota, pedang yang bernama Cura Si Manja kini, lembing dan cap kayu gempa.  Maka cucuanda baginda itu pun bermohonlah kepada ninda dan bondanya serta dengan peluk cium dan tangisan.

Sementara itu harus telah terlintas kepada hati Raja Petrali akan perinya sekiranya cucuandanya itu jadi belot atau tidak jujur terhadap abangnya kerana maklum saja perkakas kerajaan ada dalam tangannya.  Oleh itu ialah bersumpah dengan cucunda itu sebelah menyebelah tidak akan derhaka kepada kekandanya dan kandanya itu tidak akan khianat kepada adiknya.  Demikian juga anak-anak cucu kandanya tidak boleh khianat anak-cucu adiknya demikian juga sebaliknya sesiapa pun yang derhaka akan ditimpa atau menerima bala Allah, pendek umur atau sebagainya.

Adik akan menggelar atau mentabalkan abangnya dan abang akan menggelar adiknya.  Cucundanya itu bersumpah dengan ninda sebagaimana sumpah nindanya dengan tangis bertangisan.  Maka dengan itu, anak raja itu pun terus menunggang kuda samburaninya lalu ghaib.  Dengan takdir Allah Subha-nahu wata’ala yang maha kuasa terus ke Pelembanag.

Bahta tiba ke pintu kota istana raja sebelum tengahhari dan di situ berjumpa dengan seorang gembala lembu mengembala seekor lembu.  Ia menerangkan kepada gembala lembu itu yang ia datang daripada lain negeri hendak mengadap raja negeri itu.  Ia meminta gembala lembu itu memberi tahu raja itu ia hendak mengadap atau bawa ia mengadap sendiri.

Gembala itu menjawab yang ia tidak meninggalkan lembunya kerana padang itu luas dan lembu itu akan lari jauh serta susah hendak menangkapnya balik kerana lembu itu masih liar. 

Bahta menjawab ia akan menjaga lembunya itu.  Oleh yang demikian, maka gembala lembu itupun bersetuju masuk ke istana raja menyembah kepada raja iaitu seorang yang datang dari negeri lain hendak mengadap baginda dan ada menunggu di pintu kota.

Sepeninggalan gembala lembu itu pergi maka bahta dipijaknya tali lembu itu dengan kaki kirinya kerana kedua-dua tangannya memegang perkakas kerajaan yang dibawanya termasuk mahkota.  Tidaklah diketahui samada kepanasan kerana di masa itu panas terik ataupun sebab lama sangat menanti ataupun disebabkan lembu itu melihat dekat-dekat kepada orang muda yang dipandangnya amat berlainan daripada orang-orang lain yang ia biasa lihat maka dengan takdir Allah Subha-nahu wata’ala lembu itu lalu muntah sehingga berlumurlah Bahta dengan muntah lembu itu.

Apabila mendapat ketahui ada orang daripada lain negeri hendak mengadap raja, maka Sang Sapurba lalu keluar ke pintu kota istana itu maka di dapati adiknya sendiri yang telah berlumuran dengan muntah lembu daripada kaki ke kepalanya.  Maka dibawa adiknya itu masuk ke istana dimandikan serta dibedak langir kemudianlah baharulah dibawa mengadap semula.  Kebetulan pula kekanda Sang Sapurba akan ditabalkan menjadi Raja Pemerintah negeri itu untuk menggantikan Demang Lebar Daun yang sendiri telah bersetuju turun menjadi Mangkubumi.

Di dalam istilah pertabalan itu, maka Bahta adiknyalah yang meletakkan Mahkota serta membisikkan ke telinga abangnya pesanan dan kata sumpah daripada ninda mereka Raja Petrali sambil abangnya menganggukkan kepala dan bersumpah mengikut sebagaimana sumpah nindanya. 

Sekelian Orang-orang Besar dan orang-orang lain rakyat jelata tidaklah mengetahui apa bisik kedua beradik dan tidaklah mengetahui pula siapa orangnya yang mentabalkan Sang Sepurba itu.  Cuma yang mereka ketahui ialah orang kena muntah lembu.  Demikianlah tamatnya salasilah muntah lembu melainkan Allah Subhanahu Wata’ala sahaja yang mengetahui.

Wallah hualam.

TAMAT


Catatan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa sambungan kepada buku karangan Allahyarham Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-Lamborri bertajuk RIWAYAT HIDUP SEORANG ANAK KAMPUNG LAMBOR KIRI, PARIT, PERAK telah ditemui. Ianya akan dimasukkan berperingkat-peringkat dalam keluaran yang akan datang. Walau bagaimanapun buku tersebut masih dalam tulisan jawi dan perlu dirumikan terlebih dahulu sebelum ianya dapat disiarkan. Insyaallah ianya akan dilakukan sedikit demi sedikit jika keadaan mengizinkan.
Sekian, terima Kasih

Editor