Total Pageviews

Monday, 15 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 12): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Keadaan dan semacam ini berjalan sehingga pada satu hari di awal tahun 1917, kami dengar dengan terperanjat iaitu Mr Moreira Pemeriksa Setot-setor (Checker of Stores) Negeri-negeri Melayu Yang Bersekutu (F.M.S.) dari Kuala Lumput telah tiba di Rumah Sakit Umum Kuala Kangsar untuk lawatan tahunan memeriksa setor-setor.  Kami bernasib baik juga kerana ia pergi ke Rumah Sakit Umum dahulu dan dua tiga hari selepas itu baharu datang ke Rumah Sakit Melayu Kuala Kangsar.

Pada hari ia mula sampai ke Kuala Kangsar, kami dapati iaitu tidak kurang daripada 20 peti susu cair ada berlebih.  Kami kelang-kabut tidak tahu apa hendak buat.  Hendak berkata benarpun takut jadi salah.  Oleh yang demikian, kami cadangkan susu itu dibawa ke tempat lain.  Hendak dibawa ke rumah sendiripun takut jadi salah jua.  Oleh itu Allahyarham Encik Mohd Nor, Dresser Hospital Melayu yang baru bertugas ke situ menggantikan Encik. S. Sabdin yang telah ditukar ke Parit mencadangkan supaya susu-susu yang lebih itu ditanam kedalam tanah untuk sementara waktu. Maka telah berbangkitlah pula soal di mana hendak ditanam dan bagaimana pula jikalau susu-susu itu di korek dan dicuri kelak pada malam hari kerana sekurang-kurangnya dua orang lain tentu tahu iaitu nama Sibayam Tandil dan seorang kulinya.  Oleh itu, bersetujulah ditanam pada malam hari itu di belakang “Cottage” (sudah ada disebutkan) dengan ditebuk tin dan dituangkan susu itu daripada tinnya ke dalam lubang yang dikorek itu sebanyak tidak kurang daripada 20 peti.  Oleh itu, cadangan itu dipersetujui dan dijalankan.

Dengan itu difikirkan habislah riwayat susu-susu tin lebih yang orang-orang sakit Melayu tidak mahu makan.  Rupanya rahsia itu telah tiba kepada pendengaran Mr. S.P. kerani dan penjaga setor di Rumah Sakit Umum Kuala Kangsar.  Pada satu pagi, dengan seolah-olah mengugut saya ia cadangkan iaitu apabila membuat order susu yang akan datang, separuh daripada susu itu disimpan di setor di Rumah Sakit Umum yang di bawah jagaannya.  Sekiranya ada pemeriksa datang memeriksa, maka bolehlah diterangkan susu itu ada disimpan di setor rumah sakit umum.  Kerana di masa itu apabila peti-peti susu itu tiba dengan keretapi, maka kereta lembu yang membawa jenazah orang yang bukan Islam digunakan bagi membawa susu-susu itu daripada stesen keretapi ke Rumah Sakit Melayu.  Jenazah orang-orang Islam dikebumi khas oleh pemborong orang-orang Islam.  Oleh itu, Rumah Sakit Melayu tidak payah mengadakan kereta lembu baginya.  Saya di masa itu baru lima bulan bekerja di situ di dalam cubaan selama 6 bulan.  Oleh itu, mahu-tak mahu, turutlah sahaja kerana ditakuti kerja saya tertahan daripada disahkan (confirmed) selepas masa percubaan selama enam bulan itu.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 8 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 11): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Pada masa saya mula tiba untuk bekerja di situ, saya dapati beberapa perkara yang saya sendiri fikirkan ganjil iaitu di antaranya:-

(1)   Sebagaimana yang saya dahulu sebutkan iaitu kebanyakkan orang yang datang berubat ialah dari penyakit luka dan bermacam-macam jenis luka pula.  Mereka percaya atau mereka sangka merasai iaitu memakan telur ayam atau telur itik adalah membuat lagi kuat sakit luka mereka merebak dan membanyakkan nanah.  Semasa mereka berubat di rumah sakit mereka diberi makan daging dua kali seminggu, ikan dua kali seminggu, telur itik dua kali seminggu dan ikan kering sekali seminggu.  Oleh itu, apabial tiba giliran memakan telur itik tiga biji seorang pada sehari, mereka kebanyakkannya tidak mahu memakannya, maklum saja sebuah rumah sakit oleh itu Pak Uda (Syed Abu Bakar) penjaga wad himpunkan telur-telur itu ke dalam raga dan terkadang hingga penuh dua raga telur itik yang sudah direbus itu dibawa pulang.  Selain daripada dibuat gulai, kami makan begitu saja (ratah) tidak termakan-makan.  Di masa itu, saya masih lagi bujang dan Pak Uda duduk di bilik belakang rumah saya.  Begitulah halnya pada hal kerajaan mengadakan peraturan makanan yang cukup berzat seperti telur yang orang-orang Melayu di masa itu sendiri pula tidak suka memakannya.

(2)   Setengah daripada mereka yang mengidap penyakit yang dirawat di hospital pula disediakan makan telur ayam, yang direbus setengah masak mengikut keadaan sakitnya dan inipun serupalah nasibnya sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

(3)   Setengah penyakit seperti penyakit cirit, terutama cirit darah (Dysentry) tidak dibenarkan makan makanan keras seperti nasi atau sebagainya.  Mereka diberikan makan susu cair cap junjung hingga sampai dua tin besar bagi seorang sehari dan pada lazimnya satu peti susu itu atau lebih dikeluarkan pada tiap-tiap hari untuk orang-orang yang mengidap penyakit itu.

Saya tidaklah tahu dari mana terbitnya berita yang mengatakan iaitu susu itu bukannya sebenar susu lembu tetapi ialah susu beruang putih di sebelah Kutub Utara “White Polar Bears”.  Oleh itu, kebanyakkan orang-orang sakit terpengaruh dan tidak mahu meminumnya.  Saya terpaksa keluarkan juga daripada stor sebanyak tin-tin susu yang dikehendaki mengikut hitungan dan aturan makanan bagi orang-orang sakit itu.  Saya tidaklah tahu bagaimana mereka buat sebelum saya sampai tetapi bila saya mula tiba, dicadangkan tin-tin yang orang-orang sakit tidak mahu minumnya itu dan asing dan sebelahkan.  Saya seorang yang baru tiba dan baharu bekerja, ikut sajalah sebagaimana yang saya diberitahu.

            Demikian keadaan dan perjalanannya pada masa itu pada hal sebagaimana yang telah saya katakan kerajaan membelanjakan wang yang banyak bagi mengadakan rumah sakit khas bagi orang-orang Melayu dan wang untuk membeli barang-barang makanan yang berzat seperti susu untuk orang-orang Melayu khasnya mendapat layanan dan membaiki kesihatan diri mereka sendiri yang mereka pada masa itu tidak berapa suka memakan atau meminumnya.  Sayapun tidak tetahan daripada meminumnya dalam stor sebelah dapur di situ satu atau dua tin pada tiap-tiap pagi bersama-sama dengan telur-telur ayam yang direbus setengah masak yang mereka itu jua tidak mahu memakannya sehingga di dalam masa empat atau lima bulan saja saya terpaksa membeli pakaian (kot dan pantloon) yang baharu oleh kerana saya telah jadi gemuk dan tidak boleh lagi memakai pakaian yang lama.

Monday, 1 October 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 10): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Sebagaimana yang saya telah sebutkan tadi, saya bertukar ke rumah sakit yang tersebut pada 16.9.1916.  Saya sampai ke situ pada hari Sabtu.  Encik Mohd Darus telah serah kepada saya barang-barang dalam stor pada pagi itu dan oleh kerana ia suka hendak pergi lekas, ia bersetuju datang bekerja pada petangnya (masa ditutup opis) bagi mengajar saya cara-cara bagaimana membuat hitungan dan membuat order barang-barang makanan tiap-tiap hari mengikut bilangan orang-orang sakit dan tiap-tiap satu macam atau kelas makanan mengikut peraturan “schedule” yang ditetapkan.  Kemudian daripada itu pula untuk saya belajar peraturan-peraturan dan kerja yang biasa diperbuat di pejabat itu dengan surat-menyurat, membuat baucer-baucer dan menyimpan rekod-rekod yang mustahak dan ia terpaksalah ajar saya sehingga petang hari yang mula itu.  Saya tidak sempat melihat bagaimana cara menerima barang daripada kontraktor yang saya pada pagi besoknya mesti jalankan sendiri tugas itu.

Pada hari yang mula itu, saya telah terkeliru kerana saya fikirkan hari minggu tentulah lambat kontraktor datang membawa barang-barang.  Oleh itu, saya datang pada jam 9.00 pagi yang biasa pada jam 7.00 pagi.  Saya tidak sangka iaitu tukang masak orang India yang menghalau saya tempoh hari waktu mengambil air di paipnya masih lagi bekerja di situ.  Ia terperanjat melihat saya datang dan sudah bekerja sebagai ketuanya.  Ia tidaklah berkata apa-apa dan saya pun demikian jua.  Pada pagi besoknya, saya pula terperanjat seorang diri kerana saya dapati ia telah lari meninggalkan kerjanya dan untuk memasak hari itu ia tinggalkan seorang kawannya daripada bangsanya untuk mengantinya.  Daripada hari itu tidaklah pernah saya berjumpa ia lagi dan kami pun bersetujulah mengekalkan kawannya itu sebagai tukang masak di situ.  Saya tidaklah tahu ia meninggalkan kerjanya itu adakah sebab ia berasa malu kepada saya atau difikirkannya saya akan membayar dendam ke atasnya.

Rumah Sakit Melayu di masa itu letaknya ialah di Talang iaitu di tempat Rumah Sakit Umum yang sekarang dan mengandungi tiga buah rumah (wad) berisi 40 buah tempat tidur, sebuah wad rumah yang dekat dengan jalan keretapi ialah bagi orang-orang sakit yang perempuan.  Selain daripada itu, ada pula empat rumah kecil yang berasingan dan dipanggil “cottage” untuk orang-orang besar, orang ternama dan orang-orang kerajaan masuk berubat.  Semuanya ini adalah bagi orang-orang Melayu khasnya dan bagi orang-orang Islam amnya.

Dua wad lagi yang lain ialah bagi orang laki-laki.  Kerajaan telah mengadakan rumah sakit khas bagi orang-orang Melayu datang masuk berubat dengan ubatan cara barat.  Saya dapati orang-orang Melayu yang datang itu ialah kebanyakkannya mengidapi luka daripada seluruh negeri Perak.  Di masa itu baru saya tahu ada 4 atau 5 macam luka.  (1) Luka (2) Tokak (3) Cabuk (4) Pekung (5) Miga dan entah apa lain pula.  Miga adalah satu macam cabuk juga tetapi ia berlubang-lubang di dalam daging semacam sarang anai.  Apabila dipancutkan (pam) air ubat, maka air itu meresap dan keluar mengikut lubang lain.  Semasa saya berada dan sudah bekerja di situ, barulah seorang daripada bapa saudara saya datang berubat sakit miganya hingga sembuh dan apabila ia balik ke kampung maka baharulah orang terima ia berkahwin. 

Ubatnya adalah cara barat tetapi apa yang saya berasa hairan ialah air pembasuhnya yang dikatakan “Seline-Dressing” iaitu air garam tetapi mengikut sukatan yang dikehendaki.  Daripada situ saya mengambil kesimpulan iaitu air garam itu tajam dan kuat kuasanya.  Jika saya sakit gigi hendak bengkak, saya gosokkan kepada gusi di mana gigi yang sakit itu dengan garam halus (bukan dikomorkan) lagi baik jika dapat digaulkan dengan air asam gelugur, dan dengan itu gigi yang hendak bengkak itu jadi kisip balik dan sakit gigi pun hilang atau sekurangnya jadi kurang serta beransur baik.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 24 September 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 9): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Opan datang melawat saya daripada Temoh di rumah sakit apabila ia mendengar saya sakit dan berada di rumah sakit.  Ia tiba semasa saya makan tengah-hari dan ia lihat saya makan sup yang saya telah sebutkan.  Ia larang saya memakannya kerana ditakutkan ayam-ayam itu tidak disembelih oleh orang-orang Islam kerana dilihatnya kesemua pekerja di situ ialah orang-orang Hindu.  Oleh itu, sungguhpun sup itu dibawa kepada saya tiap-tiap hari ada tiga atau empat hari yang saya tidak makan.  Orang yang sebelah katil saya di situ bertanya saya mengapa saya tidak memakannya kerana katanya jika sekiranya saya tidak memakannyapun, mereka kira jua harganya dan dengan itu sebagai pepatah orang-orang tua “Tuah ayam menikam dahulu”.  Saya pun mulalah balik memakannya.  Selepas itu saya baru siasat dan saya dapati sebenarnya ayam-ayam itu disembelih oleh orang-orang Islam.

Sudah sebulan saya berubat di rumah sakit.  Sementara itu rupanya pihak Kroh telah heboh kerana saya tidak jua sampai.  Pihak Parit Buntar pula menerangkan yang saya telah bertolak pada 31.5.1916.  Oleh itu hebohlah di antara Kroh, Parit Buntar dan Grik (tempat singgah ke sana) tulis-menulis satu sama lain pasal saya.  Masing-masing saya dianggap sudah lari kerja.

Sesudahnya lepas masa hampir sebulan kedua pihak Parit Buntar dan Kroh membuat repot yang saya sudah lari kerja.  Pihak Parit Buntar mencadangkan supaya dikeluarkan waran menangkap saya kerana melarikan wang petty cash yang saya telah ambil untuk membuat belanja di dalam perjalanan ke Kroh.  Apabila repot itu tiba kepada Tuan Penolong Setiusaha Residen Tuan Mark Rex, barulah ia teringat yang ia ada hantar seorang budak sebulan yang lepas.  Ia terus telefon kepada tuan doktor besar dan barulah diketahui yang saya berada di rumah sakit kerana di masa itu tuan doktor besar memberi sijik sakit selepas seorang pesakit itu keluar daripada rumah sakit sahaja.  Dengan serta-merta Tuan Penolong Setiusaha Residen memerintahkan seorang lain pergi bertukar ke Kroh.  Saya tidaklah tahu siapa yang mereka hantar ke sana dan selepas orang itu pergi ke sana barulah saya dikeluarkan daripada rumah sakit.

Apabila saya keluar daripada rumah sakit, saya diperintah untuk bekerja semula di Sekretariat Taiping dengan diturun balik menjadi kerani tambahan bagaimana asal hingga 16 September 1916 apabila saya telah ditukarkan ke Hospital Melayu Kuala Kangsar sebagai kerani dan penjaga stor.

Sebelum pertukaran itu, apabila di mana-mana ada kerja kosong, ketua saya bertanya saya sekiranya saya suka memenuhi kerja yang kosong itu di antaranya ialah satu jawatan Pegawai Perikanan di Port Weld.  Di masa itu saya ingat peristiwa di laut yang hampir karam bagaimana sensaranya di laut tambahan pula saya tidak biasa ke laut dan tidak tahu membezakan di antara ikan belanak dengan ikan senangin atau sebagainya.  Saya sangka mereka itu mengejekkan saya tetapi harus juga mereka benar dan iklas kerana di masa itu bilangan anak-anak Melayu yang tahu Bahasa Inggeris belum ramai.  Tuan Haji Abd. Malek Negeri Sembilan, Datuk Haji Mahmud bin Mat Pahang, Datuk Haji Mohamed Isa bin Kulop Shah dan Encik Othman bin Datuk Syahbandar Perak belum berapa tahun masuk bekerja dengan kerajaan.  Saya tolak semua itu sehingga satu masa tuan doktor besar Perak berkehendakkan budak Melayu pun jadi untuk bekerja di rumah sakit yang tersebut bagi mengantikan Encik Mohd Darus yang telah meminta bertukar daripada situ untuk membolehkan ia memasuki peperiksaan Junior Clerical Examination.  Saya berasa amat bergembira kerana saya akan bekerja di tempat saya mengaji dahulu dan dengan serta-merta saya terima.




bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 17 September 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 8): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Berbalik kepada kisah diri saya sendiri, saya tidaklah ketahui samada orang yang tersinggung hati bersabit dengan langkah saya berjumpa dengan Tuan British Resident tempuh hari dan dapat kerja dengan secepat mungkin.  Saya telah ditukarkan ke Pejabat Tanah ke Parit Buntar pada 1.5.1916 sebagai Pemangku Kerani Gred III iaitu di dalam masa kurang daripada dua bulan dan sayapun berasa girang hati kerana itu.  Tetapi dengan tidak semena-mena, di hujung bulan itu juga saya ditukar daripada sana ke Kroh Hulu Perak daripada 1.6.1916.  Surat hukum tukar itu diterima pada 31.5.1916 dan dengan serta-merta saya dikehendaki pergi sehingga tidak sempat saya menanti petang hari itu untuk berkhabar kepada Engku Shahriman yang saya tumpang rumahnya selama saya di Parit Buntar kerana di hari itu, ia pergi keluar di atas urusan jawatannya.

Untuk maklumat pada masa itu (1916) Pejabat Kecil Kroh yang dipanggil “New Territory” baru saja diserahkan ke Perak dan jalan terus-menerus Bukit Mentajam sebagaimana sekarang belum ada lagi.  Untuk pergi ke sana terpaksalah melalui Lenggong dan Grik dan daripada Grik ke Kroh terpaksa menunggang gajah naik bukit dan turun bukit 3 hari dan 2 malam di jalan.  Oleh itu, maklum sajalah bagaimana rasanya hendak pergi bertukar ke sana.  Kebetulan pula, semasa di Parit Buntar semasa hampir sebulan itu saya sudah berasa kurang sihat.  Bagaimana tidak ada jalan yang ternampak kepada saya selain daripada pergi juga, jika hendak bekerja terus.

Saya bertolak pada hari itu jua 31.5.1916 ke Taiping dan di sana saya berjumpa dengan bapa-saudara saya Tajul Ariffin yang baru bertukar ke bandar itu.  Ia nasihat saya berjumpa tuan doktor dan jika boleh terus masuk hospital.  Sayapun pergi ke hospital Taiping minta cuti sakit atau masuk rumah sakit.  Doktor minta saya bawa surat ketua pejabat saya.  Oleh itu saya pergi jumpa “O.A.” minta surat itu.  Ia marah mengapa saya belum pergi lagi dan saya jawab iaitu saya tidak boleh pergi kerana saya sakit.  Ia terus bawa saya berjumpa Penolong Setiausaha Resident iaitu Tuan Mark Rex.  Tuan itu beri saya surat kepada tuan Doktor.  Katanya:

M.O.

Please examine bearer Mohd Yakob bin Ngah Abas, who complains that he is ill.  He was due to leave for Kroh this morning

                                                                                    M.Rex
                                                                                    1/6/16 
           
Saya bawa surat itu berjumpa doktor dan kebetulan pula hari itu seorang doktor Melayu, Pandak Ahmad baru tiba daripada Kolej Perubatan Singapura.  Ia terus masukkan saya berubat di rumah sakit itu.  Saya di tempatkan dalam wad kelas dua yang di bawah jagaannya dan lawatan hari-hari oleh doktor besar Dr. S.C.G. Fox sendiri.  Ia tulis penyakit saya sebagai B.B. (Beri-Beri) mengikut rekod atau penjelasan di tiket saya dan diberi ubatan kerananya.  Sementara itu darah saya diambil dan dihantar ke Pusat Penyelidikan untuk diperiksa.  Lepas seminggu baru dapat jawab menyatakan darah saya mengandungi kuman B.T. (Benign Tertian) iaitu sejenis kuman deman kepialu “Malaria” dan Dr. C.B. Pasley yang melawat wad itu juga potong B.B. dan diganti dengan B.T.  Ia beri saya makan sekati sup ayam tiap-tiap hari selepas itu.  Bagaimana ia berbuat begitu tidaklah saya tahu dan barangkali oleh sebab pada pandangannya saya kurus kering kerana sebenarnya di masa itu saya telah sebenarnya didapati sakit.

            Saya bersyukur kepada Allah di masa itu kerana telah didapati saya sebenarnya sakit B.T.  Oleh itu, tepatlah saya tidak berolok-olok.  Lagipun, sekiranya saya dianggap sebagai pengidap penyakit B.B. harus saya terkena berhenti kerja kerana saya baru saja masuk kerja.



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 10 September 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 7): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Sambil mengingat riwayat itu, maka saya teringatlah pula satu cerita yang saya baca di dalam buku bernama “Haraps New Dramatic Reader”, buku tebal karangan A.E.M. Bailis di bawah tajuk lebih baik daripada itu “Better than that” yang mengisahkan kejadian di antara seorang pemuda askar dengan Maharaja Frank Joseph di negeri Austria.

Pada satu petang di musim buah di jalanraya berapa batu jauhnya daripada bandar, cuaca sudah mula hendak turun hujan dan maharaja itu yang sendiri memandu kereta buginya turun daripada keretanya kerana hendak memasang atap (hood) keretanya.  Apabila ia hendak balik menaiki keretanya, seorang pemuda askar menemuinya:-

Kata askar muda -   Maafkan saya tuan, tetapi rasa saya barangkali tuan 
 boleh beri saya menumpang.  Pakaian saya ini baru  
 dan saya takut rosak
                        Maharaja             -   Tentu, masuklah
                        Askar                   -   Terima kasih banyak.  Iapun naik masuk dan duduk di
        sebelah Maharaja
                        Maharaja             -   Apa yang membawa awak (apa sebab) datang jauh 
                                                        ke sini daripada bandar?
                        Askar                   -   Saya datang melawat kawan lama saya dan sekarang
        saya di dalam perjalanan balik.
                        Maharaja             -  Sambil memecut kudanya – Dan bagaimana awak
       disambutnya, seronokkah?
                        Askar                   -  Oh! Amat seronok rasanya.  Ia beri saya makan yang
                                                       masyhur, saya boleh katakan kepada tuan.            
                        Maharaja             -  (Geli hati) Ha – apa agaknya?
                        Askar                   -  Teka
                        Maharaja             -  Sup sayur kobis – barangkali.
                        Askar                   -  Dengan ejek-ejek.  Sup, sebenarnya lebih baik
       daripada itu.
       Tuan mesti teka sekali lagi.
                        Maharaja             -  Kepala anak lembu begitu?
                        Askar                   -  Lebih baik daripada itu lagi.
                        Maharaja             -  Sepotong daging kering?
                        Askar                   -  Lebih baik daripada itu lagi.  Saya diberinya makan
daging panggang merpati yang saya sendiri tembak di kebun maharaja kerana kawan saya itu sekarang ialah penjaga kebun dan binatang-binatang ternak itu cukup sedap dan tiada syak lagi.
                        Maharaja             -  Saya boleh percaya cakap tuan.
                        Askar                   -  Hujan nampaknya sudah berhenti.  Jika tuan boleh
       Berhentikan kereta, saya akan turun dan saya sendiri  
       berjalan pulang
                        Maharaja             - Oh! Tidak.  Saya suka hantar awak pulang.
                        Askar                   - Tuan cukup baik orangnya
                        Maharaja             - Tidak sekali – saya suka dapat berkawan dengan awak
       Hingga kita sampai ke bandar. 
                        Askar                   - Terima kasih banyak, tuan.  Bolehkah saya bertanya
       nama tuan, saya suka mendapat tahu siapakah 
       orangnya yang begitu baik kepada saya
Maharaja         - Ah sekarang giliran awak pula meneka siapakah orangnya  
                              saya ini.
                        Askar                   -  Barangkali tuan ada hubungan dengan tentera? 
                                                       Maharaja mengangguk kepalanya.  Tuan askar prebet
                        Maharaja             -  Tersenyum.  Lebih baik daripada itu.
                                                       (batter than that)   
                        Askar                   -  Lerftenan agaknya?
                        Maharaja             -  Lebih baik daripada itu
                        Askar                   -  Mula merasa takut. Konel?
                        Maharaja             -  Lebih baik daripada itu – Percayalah kepada saya
                        Askar                   -  Dengan ketakutan.  Barangkali tuan seorang Jeneral?
                        Maharaja             -  Mengelingkan kepalanya – Tidak!
                        Askar                   -  Dengan keluh-kesah.  Seorang Kepala Perang (Field
       Marshal)
                        Maharaja             -  Lebih baik daripada itu
                        Askar                   -  Dengan lebih keluh-kesah dan ketakutan.  Jika begitu,
       tuan tentulah Duli Yang Maha Mulia Maharaja sendiri?  
       Sambil ia cuba terjun daripada kereta bugi tetapi  
       Maharaja meghalang ianya 
                        Maharaja             -  Sekarang akan penuhkan perjanjian saya.  Saya akan
                   hantar awak pulang.
                        Askar                   -  Tetapi, Tuanku.....
                        Maharaja             -  Sementara itu, saya akan beri awak sedikit nasihat
                                                       yang bagus dan harap awak tidak akan lupakan.
                                                       Pertamanya jaga baik-baik di masa hadapan jangan
                                                       bunuh merpati sebelum mendapat kebenaran tuannya.
                        Askar                   -  Maafkan patek.....
                        Maharaja             -  Memberi isyarat dengan tangan jangan diganggu ia
  bercakap.  Dan kedua, jaga jangan bawa cerita atau      
 cerita kesah kawan-kawan kamu kepada sesiapa jua  
 orang yang tidak kamu kenal yang kamu baru jumpa   
 dengannya pada kali pertama
                        Askar                   -  Patek akan tidak lupakan sama sekali Tuanku.
                        Maharaja             -  Bagus, kita akan lihat awak seorang konel di masa
       hadapan



bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 3 September 2012

MENCARI KERJA (Sambungan 6): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada pagi hari lagi pada 3.3.1916 sebelum kebanyakkan orang-orang lain datang, saya telah datang ke pejabat sekretariat dan selepas mendapat borang untuk pemeriksa doktor dan sumpah jawatan di hadapan majistret, saya telah pergi ke Hospital Taiping untuk diperiksa oleh doktor dan lepas itu berjumpa dengan Tuan Majistret pula.  Kebetulan pula, pada masa itu ada seorang yang lain daripada bangsa Jaffna Ceylon yang dapat pekerjaan sebagaimana saya juga dan kami berdua-dua pun pergi ke sana sini bersama-sama sekali.

Jam 3.00 petang itu kami berdua balik bersama-sama ke pejabat itu selepas selesai diperiksa doktor dan sumpah di hadapan Majistret.  Kawan saya itu (orang Jaffna) diterima reported for duty 3.3.1916 kerana “uncle” bapa saudaranya ada bekerja di pejabat itu dan saya diberitahu dengan manis “Come and report for duty tomorrow”.  Sekali lagi nama saya terjatuh ke bawah daftar jawatan untuk pertimbangan di masa hendak menaikan darjah kerja kelak.  Pada hal bersama-sama kami pergi dan mari.  Bagaimanapun, kali ini saya tidak lagi diusir kerana saya bawa bersama-sama saya sampul surat daripada pejabat itu.

Demikian saya telah mula bekerja di Pejabat Sekretariat Taiping, Orang Besar yang saya ikut sebulan dahulu telah datang pula ke situ dan langsung bermalam di Istana Kelab Taiping sebagaimana kebiasaannya ia perbuat apabila datang ke bandar itu.  Ia dapati saya ada lagi duduk menumpang di rumah Tok Aki Tahir di belakang rumah Istana Kelab Taiping.  Oleh kerana saya ada di situ, maka ia ajak saya lagi sekali pergi bersamanya ke sebelah Utara Perak.  Saya beritahu ia bahawa saya tidak lagi boleh pergi bersamanya kerana saya sudah dapat kerja.  Nampaknya ia kurang percaya dan jadilah soal-jawab sebagaimana berikut:-

Orang Besar     -           Sudah dapat kerja?
Saya                 -           Benar Tengku
Orang Besar     -           Apa kerjanya
Saya                 -           Di pejabat itu, saya tunjukkan kearah 
                                    bangunan sekretariat yang tidak jauh daripada situ.
Orang Besar     -           Pangkah Puller kah?
Saya                 -           Ada sedikit tinggi Tengku.
Orang Besar     -           Peonkah?
Saya                 -           Ada sedikit tinggi Tengku.  
Orang Besar     -           Notice Serverkah? 
Saya                 -           Ada sedikit tinggi Tengku.
Orang Besar     -           Apa juga sedikit tinggi ini?
Nampaknya tiap-tiap kali saya menjawab, ia naik satu tangga ke atas ke arah tingkat atas bangunan itu, terus tak syak lagi 
-               Malay-Writer kah?
Saya                 -           Sedikit lagi tinggi, Tengku
Orang Besar     -           Ia garu kepala dan tanya lagi  
-               Mika adakah mengaji di Sekolah Inggeris dahulu?
Saya                 -           Pass Tengku

Dengan itu, ia terus lari ke atas rumah (Istana Kelab) dan semenjak itu, di mana-mana saya jumpa ia, saya beri hormat tetapi ia pura-pura tidak kenal lagi.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA