Total Pageviews

Monday, 9 April 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Saya tertarik hati kepada satu kejadian yang mengelikan hati iaitu cerita tiga serangkai daripada orang kita Melayu.  Berlakunya cerita ini ialah di masa di Cangkat Melintang mula-mula menanam pokok getah para di situ.  Pada kali pertama getah mereka ditoreh dan dibekukan jadi getah berkeping-keping, mereka ketiga itu bermuafakat telah hendak menjualkan getah mereka ke bandar (pekan) pekan yang terdekat ialah Tronoh.  Jalan kapal ke Teluk Anson atau Parit belum lagi ada, mereka bawalah getah mereka dengan berkandar ke Tronoh.  Di masa itu, harga getah para amat tinggi sehingga dua ratus ringgit sepikul atau hampir sebanyak itu maka ketiganya orang gagah belaka, besar dan tinggi orangnya.

Selepas mereka jual getah mereka maka wang yang mereka dapat daripada jualan itupun beroleh sedikit wang kerana tinggi harga.  Oleh itu mereka berhajatlah hendak menjamu selera mereka.  Mereka ketiga pergi bersama-sama ke sebuah kedai nasi di pekan itu.  Mereka dibawa oleh tuan kedai itu ke dalam di mana ada satu meja dan empat kerusi.  Mereka tidak tahu apa hendak dibuat.  Seorang daripada mereka berkata “mika pergilah dahulu” dan begitulah berdolak-dalik di antara mereka dan sesudahnya seorang daripada mereka yang lebih berani, besar dan tinggi orangnya masuk dahulu.  Ia berasa serba salah adakah benda yang empat (kerusi) itu sebagai tangga hendak naik ke atas meja atau tempat berjuntai kaki bila sudah naik ke atas.  Demikianlah seorang demi seorang naik.  Sementara itu, tuan kedai pergi keluar untuk membawa juadah-juadah yang mereka kehendaki.  Mereka tidak terfikir yang kerusi itu ialah tempat meletakakn hidangan (untuk makluman kedai-kedai nasi di masa itu di situ memberi orang makan di atas pelantar dengan bersila.  Apabila mereka ketiga-tiga telah duduk di atas meja itu, ada yang bersila dan ada yang berjuntai, maka meja itu lalu roboh dan mereka ketiga jatuh tersepuh ke lantai oleh kerana meja itu tidak tertahan oleh keadaan keberatan mereka ketiga, sebagaimana yang telah dikatakan besar, tinggi orangnya dan kuat badan tubuh masing-masing.  Apatah lagi riuh rendah dan hebohkah tuan kedai itu.

Mereka ketiga simpan rahsia itu beberapa lama.  Orang tidak tahu tetapi orang-orang lain perhatikan apabila mereka ketiga bertemu di mana-mana selalulah mereka gelak-ketawa di antara mereka dan sesudahnya pecah jua rahsia itu.  Saya sendiri dapat tahu dalam satu masa di dalam perhimpunan kenduri di satu perkahwinan di rumah seorang bapa saudara saya yang telah berkahwin di situ dan di masa itu mereka ketiga bertembung dan gelak ketawa sama-sama mereka sebagaimana biasa maka baharulah seorang daripada mereka menceritakan peristiwa yang sudah lama itu, peristiwa meja roboh namanya.  Di masa ini, tentulah orang tidak dapat mempercayai ini tetapi perkara ini sebenar berlaku 60 tahun yang lalu.





Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 2 April 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Di dalam perjalanan kami dengan keretapi itu, ia asyik bertanya itu dan ini (ia pakai ilmu segan bertanya sesat jalan) itu apa namanya? Saya jawab itulah kapal.  Ia tanya saya lagi.  Itukah kapal yang membawa Pak Haji Mohd Saleh ke Mekah dahulu.  Saya jawab bukan.  Ini ialah kapal korek untuk melombong bijih, bukannya kapal laut yang membawa orang-orang haji ke Mekah dan balik.  Ia tidak puas hati juga dan hendak bertanya lagi.  Terus saya bagi isyarat tidak usah bertanya di masa itu kerana berasa malu kepada orang-orang yang bersama pergi dengan keretapi itu.

Demikian keadaannya di masa enam puluh tahun dahulu pekan Tronoh (dan pekan-pekan lain yang berhampiran seperti Seputih, Pusing, Menglembu) di masa itu baharu rumah-rumah bangsal melombong dan kedai-kedai atap saja yang ada kerana di masa itu kerja melombong bijih baharu dimulakan di Tronoh.  Taukeh-taukeh lombong mengadakan kesenangan, keseronokan dan hiburan-hiburan bagi pekerja-pekerja lombong atau menyukakan hati mereka daripada berpindah tempat lain yang sudah lama dibuka.  Bermacam-macam judi pula biak dan sebaliknya pula kerapkali berlaku rompak-merompak, curi-mencuri oleh pihak yang kalah judi.  Bermacam-macam cerita hiburan pula diadakan dengan mengadakan wayang-wayang yang bermain siang dan malam di tengah-tengah jalanraya dengan percuma dan terbuka kepada orang-orang ramai untuk menarik pekerja-pekerja daripada tempat lain datang bekerja di situ.  Kebanyakkan pekerja-pekerja lombong itu ialah daripada bangsa Tionghua tetapi orang-orang Melayu daripada kampung-kampung pun dapat jua peluang mencari makan dengan jalan memotong kayu hutan untuk dijual kepada taukeh-taukeh lombong untuk mendirikan rumah-rumah pekerja-pekerja palung-palung dan lain-lain.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 26 March 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;


Di antara beberapa kali saya mengikuti guru besar saya ke sana ke mari ke mana juga ia pergi, maka saya tidak boleh lupakan satu peristiwa yang mengelikan hati.  Pada kali ini seorang budak yang lain lebih kecil daripada saya tetapi berazam sangat hendak melihat pekan dan sanggup berjalan kaki daripada tempatnya Telok Bakong ke Tronoh melalui dan mengikut jalan simpang-siur, jalan penarik kerbau.  Ia adalah seorang budak namanya Alang (ada lagi namanya penuh tetapi saya berasa segan hendak menerangnya).  Ia duduk di seberang sungai, iaitu kampong Telok Bakong.  Ia datang ke Lambor Kiri dan duduk bersama Tok Guru, Guru Quran kami di Sekolah Melayu Lambor Kiri.  Namanya Imam Gamat yang duduk di Kampung Bakong iaitu di seberang tempat rumah ibu bapanya di Telok Bakong.  Di masa itu belum ada lagi sekolah di Telok Bakong (Mukim Lambor Kanan).  Oleh itu, lebih senang ia datang menyeberang ke Kampung Bakong untuk belajar Quran pada malam hari daripada pergi belajar di Sekolah Lambor Kanan yang lebih jauh.

Pada hari yang ditetapkan ia pergilah bersama-sama kami ke Tronoh.  Apabila kami sampai ke Tronoh dengan berasa letih dan dahaga maka Cikgu kami belikan kami masing-masing segelas kecil aiskrim daripada Cina panjang.  Saya terperanjat bila ia gigit telinga saya sebelah kiri.  Katanya, “Aku sejuk sangat” rupanya dengan sekali gus saja dimasukkan semua aiskrim yang amat sejuk itu ke dalam mulutnya kerana ia belum mengetahui memakannya sedikit demi sedikit.  Selepas itu kamipun masuklah ke dalam stesyen keretapi Tronoh.  Sementara Cikgu kami pergi membeli tiket hendak ke Seputih, ia bertanya saya “apa merogasnya datang merayap itu?”  Jawab saya, “itulah keretapi yang akan membawa kita ke Seputih.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 19 March 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;



Di awal tahun 1911, saya telah berhenti daripada mengaji Sekolah Melayu.  Dengan sokongan dan galakkan guru saya, maka saya telah cuba bekerja sebagai monitor yang sekarang ini dipanggil sebagai guru pelatih.  Murid-murid yang saya ajar kebanyakkannya daripada pangkat bapa-bapa saudara saya dan kebanyakkannya daripada mereka terus berhenti daripada mengaji sekolah kerana kata mereka “mengikut pengetahuan orang-orang tua tanda dunia hendak kiamat sudah sampai, iaitu anak-anak mengajar bapa-bapa.”  Selain daripada itu pula, murid-murid yang berpangkat adik-adik kepada saya suka menangis jika saya mengajar mereka dengan suara yang sedikit kuat yang mereka sangka saya marah.  Di masa itu baharulah saya teringat mengapa Cikgu Quran saya bengis kepada saya kerana di masa itu saya berhati benak atau bebal, susah hendak mengingat atau memahami apa-apa yang diajar kepada saya.  Tetapi sebaliknya selepas itu di masa saya mengajar di Sekolah Melayu saya tidak berasa susah sangat dapat mengerti apa-apa yang diajarkan kepada saya.  Oleh itu, saya fikirkan murid-murid saya pun berhati begitu jua.  Oleh yang demikian, saya terpaksa berhenti dan cuba pula cari kerja yang lain di pekan-pekan seperti kerja posman (penghantar surat di Pejabat Pos) atau seumpamanya sementara saya mengikuti guru besar ke pekan-pekan apatah lagi apabila saya tidak mengaji lagi di sekoalah.  Di awal tahun 1911, maka  sentiasalah saya mengikuti guru besar saya tiap-tiap kali ia pergi ke pekan untuk menerima gajinya yang masa itu dibayar di Sekolah Melayu Pekan Seputih.  Di masa itu terpaksalah berjalan kaki daripada Lambor ke Parit dan daripada situ dengan kereta kuda (Gharry) ke Seputih.  Ataupun daripada Lambor ke Tronoh dengan berjalan kaki daripada Tronoh ke Seputih dengan berjalan kaki atau menaiki kereta kuda.  Di masa itu belum ada lagi kereta motokar mengambil sewa.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 12 March 2012

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

MURID-MURID SEKOLAH MELAYU LAMBOR KIRI
YANG AWAL LULUS DARJAH LIMA

Sebagaimana yang telah disebutkan saya dan tiga orang murid yang lain ialah murid-murid yang pertama sekali lulus di dalam darjah lima daripada Sekolah Melayu Lambor Kiri di tahun yang awal peperiksaan itu diadakan.  Kami yang berempat itu ialah:-

1.      Ngah Mohd Talib bin Kulop Karap
2.      Alang Mat Jali bin Kulop Deris
3.      Itam Kanda (Itam Abdul Ghani) bin Kulop Ali
4.      Mohd Yaakob Ngah Abas

Dalam tahun 1910, mereka yang ketiga telah dapat pekerjaan kerajaan belaka, iaitu:-

1.      Ngah Mohd Talib bin Kulop Karap
Sebagai Kastam O.D.A.
2.      Alang Mat Jali bin Kulop Deris
Sebagai Guru Penolong
3.      Itam Abdul Ghani bin Kulop Ali
Sebagai Guru Penolong

Tetapi Alang Mat Jali bin Kulop Deris, abang saudara saya itu tidak lama ia dalam jawatan kerana ia ditukarkan ke tempat lain.  Pada masa itu gaji guru penolong amat rendah.  Sebaliknya, harga getah perca beratus ringgit sepikul lalu ia meletakkan jawatan.

Oleh itu tinggallah saya seorang diri menganggur.  Bagaimanapun, saya bagi kali yang ketiga telah sekali lagi masuk di dalam peperiksaan darjah lima di hujung tahun itu (1910) dan dengan senang telah sekali lagi lulus di dalam darjah itu serta mendapat sijil.


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 5 March 2012

MELAWAT PULAU PINANG (Sambungan): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Apabila kami tiba ke pelabuhan kapal Pulau Pinang pada pagi besok kami dapati iaitu Bandar Pulau Pinang karam atau dibanjiri air.  Dikatakan itulah julung-julung kali berlakunya semacam itu di bandar itu dan kami tidaklah ketahui adakah disebabkan oleh air hujan atau disebabkan oleh air pasang laut.  Oleh itu tergendalalah kami hendak pergi ke Teluk Kumbar hari itu.  Bagaimanapun, pada petangnya baharulah air itu surut dan baharulah kami dapat menuju ke Teluk Kumbar tetapi di dalam perjalanan ke sana pun masih jua karam lagi setengah tempat dan kereta kuda yang kami sewa terpaksa mengaruk air di separuh jalan.  Keadaan di Teluk Kumbar pun kami dapati begitu juga.

Lebih sebulan kami duduk di sana dan semasa itu adalah jua kami keluar pergi ke Balik Pulau dan lain-lain serta melihat orang Melayu memukat ikan di laut.  Kami pergi Balik Pulau daripada Teluk Kumbar dengan jalan kaki mendaki bukit yang mereka kata ialah jalan yang lebih dekat.  Pada orang-orang yang lain ada bermacam pantang yang saya sendiri tidak faham.  Satu daripadanya jika hendak naik ke rumah naiklah terus supaya ikan di laut pun begitu juga terus masuk belat mereka.

Di akhir cuti iaitu pada 6 haribulan Syawal kami balik daripada Teluk Kumbar dengan membawa seguni ikan kering yang dibuat sendiri dan tidak begitu masin sebagaimana yang dijual di pasar-pasar dan boleh pula disimpan lama.

Kami terpaksa jua menaiki kapal laut pada masa kami balik daripada Pulau Pinang melalui pelabuhan Teluk Anson tetapi kali ini perjalanan di laut adalah tenang, tidak kuat ombak dan kapal yang kami naik pula terlebih besar daripada kapal Canton yang kami naiki tempoh hari.  Oleh itu tidaklah golek sebagaimana dahulu dan dapatlah kami berjalan-jalan ke sana-sini dengan amannya di atas kapal itu dan melihat sekelilingnya. 

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 27 February 2012

MELAWAT PULAU PINANG: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

MELAWAT PULAU PINANG

Di dalam masa cuti persekolahan bagi bulan puasa dan Hari Raya tahun 1910, isteri cikgu besar kami bernama Rahimah binti Haji Abu Bakar hendak balik ke tanah airnya Teluk Kumbar, Pulau Pinang.  Ia saya anggap sebagai ibu angkat saya.  Dizaman itu Sekolah Melayu ditutup 30 hari selama bulan puasa dan enam hari sebagai cuti Hari Raya.

Cikgu Kechil suaminya iaitu guru besar saya bawa saya pergi sana.  Pada kali ini pergi dengan kapal laut.  Kami menaiki kapal “Canton” pada 30 Sya’aban (malam mula puasa).  Saya di masa itu tidak sekali tahu iaitu rupanya pasang rabung di laut berlaku pada tiap 15 haribulan penuh dan pada tiap-tiap 30 (hujung bulan) pada tia-tiap bulan Hijrah dan di masa itu ombak laut amat kencang.  Kapal Conton yang kami naiki adalah kecil dan amat golek.  Pada kali ini dikatakan angin laut yang luar biasa terlebih amat kencang hingga tiap-tiap penumpang dek pada masa itu jatuh mabuk oleh kerana kapal itu amat golek dan hampir karam.  Saya tidak faham begitukah keadaan biasanya di kapal-kapal laut.  Oleh itu saya berniat saya tidak hendak lagi lagi naik kapal laut selepas itu.  Saya jua berasa hairan dan segan bertanya di dalam keadaan yang kelam kabut itu mengapa di malam itu beberapa orang Islam di antara penumpang-penumpang bang dan qamat di tengah malam yang gelita itu.  Rupa-rupanya mereka berdoa kepada tuhan meminta selamatkan mereka daripada bencana karam di laut.

Pada pagi besoknya, dalam pelayaran itu, kami bertemu dengan sebuah tongkang yang telah karam di laut dan tiga orang penumpangnya masih lagi terapong-apong dan berpegang kepada hujung tiang layar tongkang itu sambil meminta tolong tetapi kapal Canton yang jua di dalam merbahaya tidak dapat menolong mereka.  Mereka telah diselamatkan oleh sebuah kapal yang lain yang lalu di belakang itu.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA