Total Pageviews

Monday, 20 February 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK (Sambungan 5): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Oleh keadaan kami tidak berjumpa dengan seseorangpun yang hendak ke hilir dengan sampan daripada Kuala Kangsar maka bermuafakatlah diantara kami bagaimana hendak balik mencari ikhtiar dan cara yang elok hendak balik ke hilir.  Cikgu kami kata cara yang senang dan tidak memakai belanja ialah hilir dengan rakit.  Oleh itu daripada pagi hari lagi kami pun hebohlah menghimpun batang pinang yang ada banyak di tepi sungai di situ.  Untuk mengapit batang pinang itu membuat sebuah rakit yang boleh memuatkan empat orang di atasnya.  Pada waktu tengah hari maka rakit itupuan siaplah dengan beratapkan daun pinang untuk berteduh daripada panas.  Pada jam pukul dua waktu zohor kamipun bertolaklah daripada Kota Lama Kiri dengan rakit itu dengan tidak memikirkan di mana hendak bermalam pada malam itu.

Rakit kami hanyut hilir mengikut arus dan pada waktu hampir senja hendak malam rakit kami melalui tepi tebing sungai berdekatan dengan Sekolah Melayu Kuala Kenas.  Di masa itu banyak orang turun ke sungai mengambil air sembahyang.  Mereka itu tercenggang saja melihat rakit kami masih hilir di waktu sudah hendak malam.  Kami tidak berkata apa-apa.  Di antara orang-orang yang ramai itu ada seorang bertanya kami hendak hilir ke Lambor Kiri.  Rupanya yang bertanya itu ialah Cikgu Megat Bajid, guru sekolah di situ.  Katanya lagi “ini nampaknya Cikgu Kechil, bukan? Kenapa gila semacam ini. Nak tumporkah dimain batu sawar di hilir itu sekarang di malam buta ini.  Singgahlah! Berhenti!” Di situlah baru berjumpa buku dengan ruas.  Kami pun tidak berkata apa-apa lalu singgah serta bermalam di sekolah itu.  Pada malamnya kami dijamu oleh Cikgu Megat Bajid dan diberikan kami tikar-bantal untuk bermalam.

Pada pagi esoknya, kamipun bertolak hilir selepas bersalaman dan mengucapkan setinggi terima kasih kepada Cikgu Megar Bajid.  Kami dapati sebenarnya sangat seperti katanya pada malam tadi kerana di sebelah hilir tempat itu kami menempuh batu sawar yang merentang Sungai Perak di sana-sini.  Yang rakit kami pun hampir tersepak kepada batu yang besar di tengah-tengah sungai itu dengan dibawa arus yang deras dan pada masa hari siang pun apatah lagi jika di waktu malam.  Pada petang hari itu, kamipun sampai ke Pekan Parit.  Cikgu kami suka juga lagi meneruskan perjalanannya ke hilir dengan rakitnya tetapi oleh kerana kami telah dapat banyak sampan yang hendak ke hilir yang dapat kami tumpang maka kamipun menumpanglah hilir dengan selamatnya selepas mengembara lebih kurang dua minggu.  Sehingga ini saya terkenanglah jika kami tahu terlebih dahulu tentulah kami tidak sanggup menggembara secara itu dan sekarangpun tidak terlintas di hati saya yang saya boleh lakukan sekali lagi dengan begitu cara.  Sekarang ini keadaan telah sudah amat berubah dan cara kenderaan bermotokar dan lain yang lebih mudah.



Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 13 February 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK (Sambungan 4): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Satu lepas satu stesyen kami melalui jalan keretapi di bawah tanah di antara Taiping dan Padang Rengas di satu tempat adalah lebih jauh daripada yang lain dan saya berfikir jika jadi satu-satu perkara di bawah bumi semasa melalui tempat lebih panjang itu apa pula akan terjadi tetapi bagaimanapun adalah sedap hati sedikit kerana perhatikan di situ keretapi itu sudah memakai dua injin satu di hadapan dan satu di belakang.

Sesampainya kami ke Stesyen Keretapi Kuala Kangsar, maka menderulah kereta lanca mengerumun kami.  Di masa itu roda kereta lanca tidak atau belum memakai tayar getah lagi cuma roda besi.  Oleh itu, hebohlah bunyi kereta-kereta itu berdahulu berlari ke sana sini mencari tambang tetapi kami tetap jua berjalan kaki terus ke rumah Cikgu Besar Sekolah Perempuan Kota Lama Kiri Cik Siti Hasnah yang telah dahulu disebut.

Sekarang ini tidaklah lagi saya ingat berapa malam kami tinggal di Kuala Kangsar sementara kami berikhtiar bagaimana hendak balik pulang.  Oleh itu, sentiasalah kami pergi ke sungai (di Kuala Kangsar) bertanya moga-moga ada orang hendak balik ke hilir untuk kami menumpang.  Sementara itu dapatlah kami ziarah dengan lebih dekat di bandar itu.  Di masa itu Maktab Melayu (Malay College) baru dibina dan hospital adalah di hadapan Sekolah Clifford sekarang.  Apa yang lebih menarik perhatian saya ialah sekelian bangsa amat gerun dengan Almarhum raja pemerintah di masa itu Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, kepada kerabat-kerabat DiRaja dan pembesar.  Di masa itu bila Almarhum itu berangkat ke mana-mana adalah diiringi oleh “Body Guard” yang memakai kuda yang penunggangnya memakai uniform selengkapnya.  Apabila baginda berangkat lalu-lalang ada orang-orang kita Melayu duduk berseliput di tepi jalan dan jua apabila baginda itu melalui “Idris Club” iaitu kelab bangsa orang-orang Eropah, bangsa kulit putih, mereka masing-masing keluar berbaris di hadapan kelab memberi hormat.  Di antara mereka yang berani maju ke hadapan ialah Pegawai Jajahan (sekarang daerah) dan Tuan Margaret guru besar Malay College saja.
bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 6 February 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK (Sambungan 3): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Di masa kami pergi itu jalan ke Taiping masih di dalam pembinaan oleh kuli-kuli India.  Ada yang baru siap tetapi di setengah-setengah tempat baru diatur batu-batu besar.  Kuli-kuli India dimasa yang bekerja membuat jalan raya itu bukanlah sebagaimana sekarang ini.  Mereka tidak pakai kain tetapi bercawat.  Badan mereka lebih hitam daripada arang-batu tetapi mereka cukup jaga gigi mereka.  Oleh itu, gigi mereka saja yang putih.  Jika ditakdirkan saya berjumpa mereka satu sama seorang harus saya cabut lari kerana takut.  Sekarang ini kulit orang-orang India sudah banyak cerah di antara mereka didapati sekarang yang putih atau kirau – ini boleh jadi sebab sudah lama mereka meninggalkan negeri mereka yang lebih panas atau oleh sebab sudah lama mereka dan anak-cucu mereka sudah tinggal di negeri ini.

Didalam perjalanan hari yang keempat itu saya selalulah merungut dan meminta supaya naik keretapi yang berjalan di bawah tanah tetapi Cikgu kami janjikan kita naik keretapi daripada stesyen keretapi yang di hadapan hingga sampailah jua kami ke Taiping pada petang itu terus-menerus dengan jalan kaki.

Pada pagi esoknya, hari kelima kami dibawa melawat bandar Taiping termasuk melawat Ibu Pejabat Pelajaran pada masa itu di bandar itu.  Saya di masa itu tidaklah tahu sudahkah ada “Lake Garden” atau Perak Museum kerana saya tidak ingat pergi ke situ melihat kedua tempat itu.  Pada malam hari kami menumpang tidur di atas loteng kedai nasi orang India.  Saya tidaklah jua tahu sudah adakah rumah tumpangan “Lodging” atau hotel di masa itu dan jika ada sekalipun, kami tentulah tidak upaya menyewanya.

Selepas dua malam kami di Taiping, di pagi hari yang ketujuh dalam pengembaraan kami, maka kamipun baliklah ke Kuala Kangsar dengan menaiki keretapi.  Itupun Cikgu kami pada mulanya ajak kami berjalan kaki ke Bukit Gantang atau saya pergi dengan seorang dengan keretapi dan nanti ketibaan mereka di stesyen keretapi Kuala Kangsar.  Saya minta jua bersama balik dengan keretapi daripada Taiping dan mahu tak mahupun Cikgu kami bersetuju.

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 30 January 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK (Sambungan 2): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Apa yang sebenarnya menyebabkan kami tidak meneruskan perjalanan di hari itu ke Taiping ialah oleh sebab Cikgu kami sudah berasa malu hendak berjumpa dengan orang-orang kawannya kerana bau pakaian dan badan kami sudah jadi hapak sebab perjalanan yang begitu jauh.  Kami hendak mandi di Sungai Kangsar sambil membasuh pakaian yang kami pakai untuk menghilangkan bau kami yang sudah begitu hapak.

Apabila kami sampai ke pekan Kuala Kangsar, maka kami ikut sungai itu ke hulu jauh di mana tidak ada orang di situ.  Mereka yang ketika itu lalu turun ke sungai mandi sambil membasuh kain dan baju yang mereka pakai.  Saya masih kecil lagi dan tidak amat pedulikan fasal itu tetapi sempat jua saya membasuh kaki saya yang telah melecur dengan air sungai yang sejuk.  Mereka campakkan kain baju mereka yang mereka sudah basuh itu kepada saya yang tinggal di atas tebing dan suruh saya jemur di atas tebing sungai itu sehingga kering.  Sementara itu mereka tinggal di dalam air sungai dengan tidak berkain (bertelanjang) di dalam air.  Demikianlah keadaan dimasa itu bukan sebagaimana masa sekarang yang masing ada mempunyai banyak pakaian masing-masing.  Mereka terpaksa menanti di dalam air sehingga kering pakaian yang mereka basuh dan jemur kerana mereka tidak boleh naik ke darat disebabkan tidak ada pakaian yang lain.  Apabila kain baju mereka sudah kering sekurang hampir kering mereka suruh saya unjukkan kepada mereka dan selepas itu barulah mereka memakainya dan naik ke atas tebing sungai dengan terus dengan berjalan kaki jua ke Kota Lama Kiri dan kami tidur malam itu di rumah Cik Siti Hasnah, guru besar perempuan Sekolah Perempuan Melayu Kota Lama Kiri, seorang lagi daripada keluarga Cikgu kami itu.  Saya seorang tidak mandi dan membasuh kain baju kerana jika saya berbuat begitu, siapa pula hendak menjemur kain-baju mereka itu dan siapa pula hendak mengambilnya balik untuk masing-masing memakainya bila pakaian-pakaian itu kering kelak kerana saya pun sudah tahu malu bertelanjang di atas pantai.

Pada esoknya, iaitu di hari yang keempat didalam perjalanan atau pengembaraan itu, maka kami bertolak dengan jalan kaki jua ikut balik jalan Padang Asam untuk pergi ke Taiping.  Kami singgah sekali lagi di rumah Cikgu Ulong di Padang Asam dan ia jamu kami makan dengan potong ayam sebelum kami bertolak ke Taiping.  Tapak kaki saya yang sudah melecur terpaksa dibalut kerana amat sakit dipijakkan keatas jalan batu. 

bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA
 

Tuesday, 24 January 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK (Sambungan 1): Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

Pada petang hari pertama kami sampai di Sekolah Melayu di seberang Pekan Parit bermalam di situ.  Pada pagi besoknya, berjalan kaki jua bertolak ke Kuala Kangsar ikut jalan sebelah kiri Sungai Perak.  Di masa itu, (tahun 1909) belum ada jalan enam kaki terus menerus lagi.  Jalan raya jauh sekali tetapi kami berasa hairan bagaimana Cikgu Kechil dapat memandu kami.  Dalam perjalanan di hari itu kami bertemu dengan tahi-tahi gajah liar yang baharu dan di tengah-tengah hutan belantara kami dapati kampung kecil di sana sini ada pokok durian tetapi tidak ada orang-orang duduk.  Di atas pokok-pokok yang tinggal kami dapati pelantar-pelantar tempat orang-orang berjaga-jaga pada malam hari pada musim buah-buah durian itu gugur, di sana sini ada kampung-kampung kecil, Pekan Manong yang sekarang belum ada lagi dan di situ masih hutan.  Dalam sebuah rumpun semak di situ kami bertemu dengan seekor harimau akar tetapi harimau itu harus tidak sangka kami lalu kerana kami lihat ekornya saja yang nampak keluar daripada celah-celah rumpun semak itu menggerakkan ekornya seolah-olah mengibas nyamuk yang harus mengigitnya.  Yang mula sekali nampak ialah Cikgu kami yang telah lepas jauh ke hadapan.  Katanya “harimau” ponggol seolah-olah binatang itu takut pada manusia.  Yang gelisah sekali ialah abang saudara saya Alang Mat Jali yang di belakang sekali seolah-olah sudah tidak berupaya melangkah berjalan kaki sambil berkata “Moh la” dengan nafas yang panjang.  Saya yang sebelah hadapannya pun amat berasa tidak bersemangat lagi tambahan pula tapak-kaki saya sudah melecur berdarah disebabkan sudah berjalan jauh dengan kaki ayam, tidak berkasut.

Selepas itu tidaklah apa-apa gangguan lagi tetapi amat letih oleh kerana berdekatan dengan sebuah kampong kami berhenti untuk masak nasi kerana hari sudah lebih tengah hari dan kami belum makan semenjak bertolak daripada seberang Parit pada pagi itu.  Selepas itu kami terpaksa berjalan di tepi-tepi bukit untuk melalui Bukit Candan, Anda Malai Kuala Kangsar pada petang itu.  Saya fikir sudah sampailah perjalanan pada hari itu tetapi rupanya kami terpaksa berjalan kaki ke Sekolah Melayu Pokok Asam untuk tidur pada malam itu di rumah Cikgu Ulong iaitu buru besar sekolah itu, iaitu keluarga guru kami itu.

Pada pagi esoknya, iaitu di dalam perjalanan di hari yang ketiga saya berasa tidak lalu lagi berjalan bukan sahaja sebab sudah sangat letih tetapi tapak kaki saya sudah jadi nipis dan melecur.  Oleh itu, bersetujulah tidak meneruskan perjalanan itu ke Taiping pada hari itu.  Masing-masing bersetuju mematah balik ke Kuala Kangsar untuk menziarahi dan melihat Bandar DiRaja.  Saya sebenarnya berasa tidak lalu lagi berjalan tetapi berasa takut pula hendak ditinggalkan di Padang Asam oleh itu mahu-tak mahupun ikut juga dan dengan berjalan kaki juga.
bersambung
Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 16 January 2012

MELAWAT KEPALA NEGERI PERAK: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

MELAWAT KEPALA  NEGERI PERAK

Dengan kejayaan yang tercapai di akhir tahun yang pertama ia mengajar di Sekolah Melayu Lambor Kiri itu, maka guru besar kami Cikgu Kechil amat bergembira kerana maklum sajalah pada masa mula ia tiba ke sini, orang-orang Lambor Kiri seolah menjalankan mogok terhadapnya.  Oleh itu ia cadangkan membuat lawatan ke ibu-kota dan kepala Negeri Perak di masa itu iaitu Taiping kerana katanya kami boleh sendiri naik keretapi yang berjalan di bawah tanah yang baru ditebuk.

Oleh itu, di dalam masa cuti sekolah penggal pertama di awal tahun 1909, kami murid iaitu abang saudara Alang Mat Jali bin Kulop Deris, seorang budak lain Anjang Wain bin Ngah Bah, seorang budak yang mengaji sekolah dan Quran dengan guru besar yang lama dan saya sendiri bersetujulah pergi melawat keluar bersama-sama dan diketuai oleh guru besar kami Cikgu Kechil.  Masing-masing kami telah diberi oleh ayah kami masing-masing $10.00 pada seorang dan wang itu kesemuanya diserahkan kepada guru besar kami untuk perbelanjaan di dalam perjalanan atau pengembaraan itu.

Untuk mengurangkan perbelanjaan di jalan, kami bersetuju pergi berjalan kaki seberapa jauh yang boleh dan membawa perkakas bermasak di jalan untuk berkelah.  Oleh itu masing-masing terpaksalah mendukung periok rompong untuk memasak nasi dan pinggan ayan untuk makan.   


bersambung

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA

Monday, 9 January 2012

BELAJAR DI SEKOLAH MELAYU: Riwayat Hidup Seorang Anak Kampung Lambor Kiri, Parit, Perak;

BELAJAR DI SEKOLAH MELAYU

Sebagaimana yang telah disebutkan pada awal tahun 1908, Cikgu Alang Maarof telah ditukar ke tempat lain dan digantikan oleh Cikgu Kechil.  Selepas peristiwa yang telah disebutkan maka mengajarlah ia bersungguh-sungguh.  Pada masa itu rumah sekolah masih lagi bangsal atap.  Cikgu Kechil menumpang di rumah abang saudara saya sebelah bapa iaitu Megat Pakeh bin Megat Kechil.  Ia mengajar bukan saja siang hari di sekolah tetapi pula mengajar pada malam hari di rumah tempat ia menumpang.  Ia mengajar hingga larut malam dan pada masa sekolah tutup siang hari ia mengajar hingga hampir waktu subuh.  Terkadang jadi budak-budak tidur mengigau hampir memanjat tiang rumah sebab kurang tidur dan pada satu malam terpaksa memanggil Tok Bomoh Ngah Makah untuk menjampi seorang budak yang seolah telah jadi tidak sedarkan diri lagi.

Pada masa Cikgu Kechil mula sampai saya mengaji baru masuk darjah dua maka dengan penuh lelah ia mengajar kami tidak kira siang atau malam.  Saya telah dinaikkan darjah daripada darjah dua beransur-ansur sehingga dihujung tahun itu juga saya telah dinaikkan bersama-sama dengan tiga orang murid yang lain yang telah masuk belajar dua tahun terdahulu daripada saya telah masuk di dalam peperiksaan darjah lima yang pada tahun itulah mula-mula diadakan peperiksaan darjah itu bagi murid-murid sekolah-sekolah Melayu.

Keadaan saya meningkat naik darjah-darjah itu sebegitu cepat daripada darjah dua beransur-ansur hingga ke darjah lima dalam masa setahun (1908) telah memeranjatkan atau mengemparkan keluarga saya kerana belum pernah terjadi begitu cepat di mana-mana sekolahpun.  Perkhabaran itu sehingga sampai kepada datuk saudara saya Uda Shukor yang kami panggil Tok Aki Sareh iaitu tempat ia duduk iaitu Teluk Sareh.  Pada satu petang ke rumah kami di Lambor Kiri dan langsung bermalam di rumah tua.  Pada malam itu dipanggilnya saya tidur bersama sekelambu dengannya sebagaimana kelazimannya bila ia datang ke rumah pusaka nenek-moyang kami.  Pada pagi esoknya, apabila ia hendak bertolak balik ke Teluk Sareh saya dengar ia membuat pesan kepada emak saya katanya “Long! Long! Berhentikan anak kamu padahnya kerana aku dengar semalam di dalam masa ia tidurpun ia mengingau mengeja apa ia kaji!”  Bagaimanapun tidak pula emak saya suruh saya berhenti daripada mengaji dan di akhir tahun itu juga saya dan tiga orang murid yang lain telah memasuki peperiksaan darjah lima iaitu julung kali darjah itu diadakan.

Haji Mohd Yaakob bin Haji Abas Al-lamborri
HAK CIPTA TERPELIHARA